PRU15: KJ calon terbaik, mampu menang di Sungai Buloh – MIC

KUALA LUMPUR, Nov 2 — MIC menyifatkan Khairy Jamaludin sebagai calon terbaik untuk memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, Khairy adalah calon tepat yang boleh menarik perhatian dan minat pengundi dalam kalangan Melayu bandar, untuk menyokong Barisan Nasional (BN).
“Saya merasakan Khairy calon yang sangat baik untuk Sungai Buloh kerana ia adalah kerusi Melayu bandar.
“UMNO juga sangat gembira kerana MIC memenuhi (permintaan mereka). Tetapi, ia juga mesti bergantung kepada rancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk kelestarian MIC dalam BN.
“Pada saya, jika kita tidak dapat memenangi kerusi, perkara terbaik untuk dilakukan ialah menukar kerusi itu dengan ahli politik yang mempunyai penyokong kuat, yang boleh memenangi kerusi itu.
“Itulah yang kita panggil hubungan kekeluargaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar bersama jawatankuasa eksekutif pusat parti untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan parti.
Tiga kerusi tradisi MIC diberikan kepada UMNO pada PRU15 kali ini, iaitu Parlimen Sungai Buloh, Kapar dan Cameron Highlands, dan sebagai pertukaran MIC ditawarkan kerusi Teluk Intan, Kuala Langat dan Batu.
Parti itu juga akan membuat kemunculan semula di Port Dickson, yang pernah menjadi kerusi tradisinya satu ketika dahulu.