Politik

PRU15: MIC bertemu persaingan tujuh penjuru di Sungai Siput

SUNGAI SIPUT, 5 Nov — Parlimen Sungai Siput mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat pertama kali bakal menyaksikan tujuh calon merebut kerusi parlimen ini pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang, S Kesavan dari Pakatan Harapan akan dicabar Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran; Datuk Seri G Irudianathan (Perikatan Nasional); dan Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (Pejuang).

Tiga calon bebas adalah R Indrani, Baharuddin Kamaruddin dan N Rajah.

Bagaimanapun, seorang peniaga tempatan, S Nagalingam yang pernah dua kali bertanding kerusi sama membatalkan hasrat untuk mencuba kali ketiga selepas menarik diri pada saat-saat akhir.

Sementara itu, tiga calon akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang dan empat calon di DUN Jalong.

Penyandang kerusi Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN) akan dicabar Ahmad Dazlie Osman (PN) dan Zaim Sidqi Zulkifli (PH).

Di DUN Jalong pula, penyandang Loh Sze Yee (PH) akan dicabar Datuk Naran Singh (PN), Jerry Pan (BN), R. Indrani (Bebas).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sungai Siput, Mohd Azhar Alias mengumumkan senarai calon yang bertanding kira-kira jam 11.30 pagi.

Parlimen Sungai Siput secara tradisinya ditanding Presiden MIC sejak zaman mendiang Tun VTSambanthan lagi dan legasi ini diteruskan oleh mendiang Tun S Samy Vellu dan menang selama lapan penggal di Parlimen itu sebelum beliau kalah PRU12 (2008) kepada M Jeyakumar daripada PSM.

Selepas itu, dua percubaan MIC untuk merampas Parlimen itu pada PRU13 dan PRU14 menerusi Timbalan Presiden ketika itu, Datuk Seri SK Devamany, gagal.

Bagaimanapun, pada PRU15, Barisan Nasional (BN) yang diwakili Vigneswaran dikatakan mampu merampas semula kerusi ini dan membawa kembali kegemilangan BN di Parlimen Sungai Siput.

Artikel Berkaitan

Back to top button