PRU15: MIC kekal bertanding, puas hati agihan kerusi

KUALA LUMPUR, Nov 2 — MIC memutuskan untuk tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November nanti.
Keputusan itu sekali gus menyelesaikan teka-teki mengenai penyertaan MIC dalam pilihan raya berikutan kekecewaan berhubung peruntukan kerusi bagi calon Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, pihaknya malah berpuas hati dengan kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.
“MIC memutuskan ia satu keputusan yang adil oleh kepimpinan gabungan berkenaan kerusi yang diberikan kepada parti kami,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar jawatankuasa kerja pusat parti itu selama kira-kira dua jam, pada Rabu.
Semalam, media melaporkan tiada wakil MIC yang hadir pada Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Mengulas isu berkenaan, Vigneswaran berkata pihaknya tidak memboikot majlis berkenaan.
“Bukan boikot, kita tak boikot. Saya mahu tunjukkan kepimpinan baik di mana keputusan diambil secara sebulat suara, sebab kita ada resolusi tentang semua keputusan berkaitan pilihan raya harus diambil oleh ahli majlis tertinggi.
“Jadi kerusi yang kita tukar dan sebagainya, perlu dapat persetujuan. Tanggungjawab saya adalah untuk pastikan semua ahli jawatankuasa pusat MIC memahami situasi dan keadaan supaya mereka boleh bekerjasama dan gembira dengan keputusan yang diambil,” katanya.
Pada PRU14 lalu, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).