Politik

PRU15: PM Yakini Kejayaan BN Pada PRU-15

KUALA LUMPUR Nov 17 – – Berbaki dua hari sebelum rakyat berpeluang mengembalikan mandat membentuk kerajaan baru pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15), landskap politik yang bersih dan peluang mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia kini semakin hampir menjadi impian segenap lapisan masyarakat.

Kesemua parti politik giat berkempen dan turun padang mendekati rakyat di setiap pelosok tanah air dan pada pecutan terakhir berkempen, rakyat seharusnya semakin jelas hala tuju yang ingin disampaikan setiap parti dalam memacu pentadbiran negara yang lebih mapan dan berwawasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengulas perkara ini dan menyatakan keyakinan beliau bagi parti Barisan Nasional (BN) meskipun berdepan persaingan sengit daripada kesemua parti bertanding terutamanya dalam soal serangan berkaitan isu peribadi yang akan menjadi topik utama kempen.

BN fokus kepada ‘produk’ dan tawaran kepada rakyat
BN dilihat lebih realistik kerana memberi tumpuan kepada produk dan tawaran kepada rakyat menerusi manifesto yang lebih baik berbanding parti lain.

Ini kerana sebahagian besar daripada manifesto yang diketengahkan terdiri daripada Bajet yang dibentangkan di Dewan Rakyat 7 Oktober lepas.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menyatakan bahawa bajet yang dibentangkan sebagi manifesto kali ini adalah bukan janji dan tawaran kosong kepada rakyat sebaliknya kesemua yang dibentang tersebut mempunyai dana yang mencukupi untuk dilaksanakan, dan kini menunggu kelulusan Bajet daripada Parlimen yang bakal bersidang selepas PRU-15 ini.

“Saya percaya dengan strategi BN yang lebih kepada memfokuskan tawaran kepada rakyat, menjual produk dan tidak memburukkan parti lain dalam bentuk serangan peribadi dan sebagainya lebih diterima baik oleh rakyat,” katanya.

Pemimpin terpalit rasuah dan skandal tidak melibatkan parti namun individu.

Bertemakan Kestabilan dan Kemakmuran, BN telah terbukti berjaya membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara sepanjang memegang tampuk pemerintahan namun, isu seperti pemilihan calon dan kes-kes rasuah di kalangan pemimpin UMNO bukanlah satu tanda bahawa BN tidak sesuai untuk memimpin Malaysia semula.

Beliau berkata, pemimpin yang terlibat dengan rasuah dan sebagainya tidak akan mempengaruhi parti, bahkan mereka perlu melalui proses perundangan secara bersendirian tanpa melibatkan parti.

Tambahnya, ada di kalangan pemimpin UMNO terdahulu pernah ditangkap dengan kegiatan komunis namun, hal ini tidak mempengaruhi parti UMNO sebagai sebuah parti komunis. Jadi, itulah bezanya antara calon yang didapati bersalah dan juga penglibatan parti.

“Walaupun ada ahli parti yang didapati bersalah, perjalanan kes dan proses pengadilan akan diteruskan. Saya juga menegaskan bahawa pihak kerajaan tidak sesekali mengganggu dalam urusan mahkamah dan agensi berkaitan antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan tugas masing-masing,” tambahnya.
Pandangan BN terhadap gabungan parti

Ismail Sabri menjelaskan, perihal gabungan parti masih terlalu awal untuk dibincangkan apatah lagi memberi pandangannya secara peribadi berkaitan isu itu memandangkan ia adalah keputusan parti melalui perbincangan dan diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Mana-mana individu tiada hak untuk menentukan gabungan antara parti selepas PRU-15, namun yang pasti adalah gabungan bersama parti daripada Sabah dan Sarawak mesti menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.  Ini termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain kesediaan BN untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN Sabah.

“Walaupun BN memperoleh banyak kerusi di Parlimen, kita masih mempunyai parti daripada Sabah dan Sarawak dalam gabungan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button