Politik

PRU15: Populariti dan undi perlu seiring – KJ

KUALA LUMPUR, Nov 3 – Populariti di media sosial perlu memberi impak kepada undi atau ia tidak memberi sebarang makna kepada calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, berkata apa yang lebih penting adalah pengundi menerima calon berkenaan berbanding populariti di laman sosial semata-mata.

“Tidak guna popular di media sosial, tetapi akhirnya tidak dapat undi daripada pengundi.

“Saya akan guna peluang kempen ini untuk berjumpa seramai mungkin pengundi untuk menyampaikan visi saya kepada kawasan Sungai Buloh, untuk pengundi menilai sama ada visi ini sesuatu yang dapat membantu mereka atau tidak,” katanya selepas Sambutan Hari Pembantu Perawatan Kesihatan Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut bahawa popularitinya yang melonjak selepas dinamakan sebagai calon di Sungai Buloh hingga desas desus Pakatan Harapan (PH) menimbang untuk menukar calon lain bagi bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Khairy dijangka menerima tentangan calon PH, R Ramanan dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Ghazali Md Hamin.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan sempat meluangkan masa melakukan tinjauan mesra dan mendekati penduduk menerusi lawatan ke Klinik Kota Damansara dan merasmikan kejohanan sukan dan olahraga Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Kota Damansara.

Selain itu, Khairy dijangka mengumumkan manifesto untuk Sungai Buloh pada minggu depan.

“Ada satu perancangan besar untuk Hospital Sungai Buloh termasuk mengangkat hospital ini sebagai destinasi perubatan berkelas dunia.

“Ini projek besar yang sudah ada peruntukannya, dengan kepakaran dan perancangan sedia ada tidak mustahil ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button