Uncategorized

PRU15: Ribuan penyokong 'biru' banjiri Tapah

TAPAH, Nov 5 — Proses penamaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan Parlimen Tapah, di sini, meriah dengan kehadiran ribuan penyokong Barisan Nasional (BN) seawal jam 6.30 pagi.

Penyokong BN yang meliputi pelbagai kaum termasuk komuniti Orang Asli tidak melepaskan peluang menunjukkan sokongan kepada wakil parti itu Datuk Seri M Saravanan.

Saravanan yang juga sudah menduduki kerusi parlimen itu sejak tiga penggal lalu sememangnya tidak asing lagi kepada penduduk Tapah.

Ini sekali gus menambah keyakinan bahawa beliau mampu mengekalkan kedudukannya di kerusi berkenaan untuk penggal keempat.

Lima lagi calon kerusi Parlimen Tapah masing-masing dari Perikatan Nasional (PN), Warisan, Pakatan Harapan (PH), PEJUANG dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) selesai menyerahkan borang penamaan calon di Dewan Merdeka pada jam kira-kira jam 9 pagi.

Selain Saravanan mewakili BN, PH meletakkan  K Saraswathy sebagai wakil, Perikatan Nasional, Muhammad Yadzan Mohammad, manakala PSM diwakili K Bawani dan Pejuang, Mior Nor Haidir Suhaimi dan parti Bebas diwakili M Karthiravan.

Proses penamaan calon bagi PRU15 berlangsung bermula 9 hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara.

Menurut Saravanan, pihaknya tidak sabar untuk membawa lebih banyak penambahbaikkan khasnya bagi penduduk Tapah sekiranya diberi peluang sekali lagi menjadi wakil kawasan berkenaan.

“Kita mempunyai banyak rancangan untuk menambahbaik taraf kehidupan penduduk Tapah terutamanya dalam pendidikan dan penguasaan kemahiran.

“Usaha berterusan akan dijalankan untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada penduduk Tapah meliputi semua golongan dan ini terbukti dengan kewujudan peluang pekerjaan dan kemahiran untuk belia,” katanya.

Selain itu, Saravanan komited dalam menyelesaikan masalah kepadatan penduduk di Tapah yang ketara sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Jika sebelum ini pengundi di Tapah hanya sekitar 40,000 orang, sekarang mencecah lebih dari 60,000 orang.

“Jadi, bagi melaksanakan perkara ini, kerjasama perlu datang dari kerajaan pusat dan negeri. Pendekatan yang bersesuaian akan dilaksanakan supaya kehidupan penduduk Tapah lebih terjamin.

Katanya lagi, kewujudan pelbagai fasiliti untuk belia Tapah adalah sesuatu yang akan dititik beratkan supaya golongan ini mampu menjadi pelapis yang lebih baik pada masa akan datang.

“Belia sudah semakin bijak dan mereka mempunyai keupayaan untuk memilih siapa yang mereka rasakan mampu berkhidmat dengan baik,” katanya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button