Politik

PRU15: Saravanan ‘Bapa Angkat’ belia Tapah

TAPAH, Nov 15 — Pembangunan belia di Tapah kini semakin mendapat perhatian dengan pelbagai kemudahan dan inisiatif berterusan khususnya dari ahli parlimen kawasan itu yang dikendalikan Datuk Seri M Saravanan sejak 15 tahun lalu.

Pembangunan yang dilaksanakan bukan saja tertumpu kepada fasiliti namun juga membabitkan pembangunan insaniah yang meliputi pendidikan dan kewujudan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang kemahiran.

Saravanan ketika ditemui berkata, golongan belia yang dilihat sebagai pelapis negara amat penting dalam pembangunan secara holistik.

“Belia mempunyai peranan yang sangat penting dalam memastikan sesebuah usaha pembangunan itu berjaya dilaksanakan.

“Saya lihat keperluan belia khususnya di Tapah membabitkan fasiliti sukan dan peluang pekerjaan yang meliputi pelbagai bidang seperti pentadbiran mahupun kemahiran,” katanya kepada Xklusif, di sini.

Antara inisiatif yang mendapat perhatian belia di Tapah adalah pembangunan kompleks sukan badminton dan futsal sekali gus menjadi platform kepada golongan itu untuk mencungkil bakat dalam arena sukan.

“Belia sememangnya sinonim dengan sukan dan kita sudah pun menyediakan kemudahan asas seperti gelanggang futsal dan dewan badminton yang boleh digunakan pada bila-bila.

“Kita beri kebebasan kepada belia di sini untuk menonjolkan bakat dan skil mereka dan kita akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan kebolehan mereka diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Suara belia turut didengari melalui pelbagai perjumpaan bagi mengetahui keperluan yang boleh ditambahbaik dari masa ke semasa.

S Ravinkumar, 28, berkata, dilahirkan dan dibesarkan di Tapah, dia menyaksikan pelbagai perubahan dilakukan dan tiada satu pun permintaan belia yang gagal dipenuhi oleh Saravanan sepanjang menjadi ahli parlimen sejak 2008.

“Setahu saya, segala keperluan kami (belia) sentiasa dijaga dan dipenuhi oleh Datuk Seri (Saravanan). Malah kami beri beliau gelaran ‘ayah angkat’ sebab kebanyakkan kami membesar semasa dia menjadi wakil rakyat.

“Bila ramai antara kami yang mahu bermain badminton, beliau bangunkan kompleks sukan dan akan datang ada kolam renang pula.

“Jadi, semua kami perlukan ada di Tapah. tak perlu lagi ke Ipoh atau bandar lain untuk bersukan,” katanya.

Sementara bagi Fauzi Yusof, 31, dia turut menyaksikan bagaimana bandar Tapah menjadi lebih moden dibawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan mengakui segala fasiliti yang disediakan bertepatan dengan keperluan semasa belia.

“Boleh dikatakan belia di Tapah ni penuh dengan aktiviti. Kami tak pernah bosan walaupun Tapah hanya pekan kecil berbanding Ipoh, namun masa kami sentiasa terisi.

“Saravanan juga tidak pernah mengabaikan pendidikan kami dengan adanya pelbagai program di sekolah dan luar sekolah. Jadi, lama kelamaan kami boleh peroleh skil selepas tamat sekolah,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button