Politik

PRU15: ‘Semua pimpinan dah setuju Ismail Sabri jadi calon PM’ – Saravanan

TAPAH, 7 Nov — Desas desus bahawa kononnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah calon Perdana Menteri dan bukannya Datuk Seri Ismail Sabri jika Barisan Nasional (BN) diberikan mandat memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanyalah taktik kotor parti lawan untuk memperdayakan pengundi.

Calon Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT), UMNO sudah pun bersetuju dengan keputusan yang dibuat dan diterima sebulat suara oleh parti maka ia tidak akan berubah dan perlu dipatuhi semua pemimpin.

“Semua kepimpinan UMNO telah bermesyuarat, BN menang Ismail Sabri adalah Perdana Menteri Malaysia.

“Tiada isu lagi, pembangkang sengaja mainkan isu ini sebab tiada modal lain semata-mata untuk menjatuhkan imej BN di mata pengundi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah sejak tiga penggal lalu berharap pengundi Tapah dapat memberi peluang kepada kerajaan BN untuk memerintah negara.

“Saya juga berharap pengundi di Parlimen Tapah dapat beri peluang kepada BN untuk membawa pembaharuan kepada rakyat.

“Pilihlah calon yang ada ketika rakyat memerlukan dan yang berpengalaman luas dalam mentadbir dan bukan calon dari luar Tapah,” katanya.

Parlimen Tapah bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru pada PRU15 kali ini.

Lima lagi calon kerusi Parlimen Tapah masing-masing dari Perikatan Nasional (PN), Warisan, Pakatan Harapan (PH), PEJUANG dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Selain Saravanan mewakili BN, PH meletakkan  K Saraswathy sebagai wakil, Perikatan Nasional, Muhammad Yadzan Mohammad, manakala PSM diwakili K Bawani dan Pejuang, Mior Nor Haidir Suhaimi dan parti Bebas diwakili M Karthiravan.

Artikel Berkaitan

Back to top button