Berita

PRU15: Warga Tapah puas hati pentadbiran BN

TAPAH, Nov 9 — Peniaga di sekitar Chenderiang, di sini, mampu menarik nafas lega apabila pembangunan di kawasan itu kini boleh dijadikan sebagai hub perniagaan setanding bandar besar seperti Ipoh.

Norpitri Rojai, 50, berkata, sejak berniaga di kawasan itu kira-kira 10 tahun lalu, dia dan keluarga tidak pernah berdepan sebarang masalah dan wakil rakyat banyak memberi bantuan dari segi penyediaan tapak serta keperluan lain.

“Kalau ikutkan perniagaan dulu dengan sekarang, jauh berbeza kerana pembangunan di sini pun semakin maju. Kini, saya boleh berniaga tanpa perlu risau dengan sambutan penduduk kerana rata-rata mereka mempunyai kuasa membeli.

“Masyarakat orang asli di Tapah pun sudah semakin maju. Ini membuktikan wakil rakyat di Parlimen Tapah ini melakukan gerak kerja yang efektif untuk membangunkan rakyat.

“BN lah yang banyak melakukan kerja untuk kami. Dari dulu saya meniaga pun semua keperluan disediakan oleh wakil rakyat BN,” katanya yang menjual barangan aksesori elektrik.

Ibu kepada lima anak itu berkata demikian ketika ditemui Xklusif di Pasar Malam Chenderiang.

Turut melawat tapak pasar malam itu, calon BN Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.

Katanya lagi, dia sering mengingatkan kelima-lima anaknya supaya sentiasa memilih BN sebagai wakil rakyat selepas melihat usaha parti itu untuk menaikkan taraf kehidupan rakyat.

“Sejak dari nenek moyang saya lagi BN menjadi pilihan di hati kerana kreadibiliti mereka terbukti dengan pembangunan yang dilakukan.

“Saya puas hati berada dibawah pemerintahan BN dan saya mahu pastikan anak turut merasainya,” katanya.

Bagi Normala Mohd Salleh, 21, dia akan memanfaatkan amanah untuk memilih wakil rakyat yang layak mentadbir sesebuah kawasan dengan mengambil kira pembangunan dan penambahbaikkan yang dilaksanakan.

“Sepanjang membesar di Tapah, saya sendiri melihat kawasan ini sudah semakin maju dan ramai rakan sebaya yang berpeluang mendapat peluang pekerjaan di sini.

“Sekarang orang muda tidak perlu lagi untuk merantau ke kawasan lain untuk bekerja kerana di Tapah sendiri boleh mendapat pekerjaan atau pun berniaga sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button