‘Puak’ Ahmad Zahid dijangka dominasi jawatan Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR 28 Feb – Selepas penarikan diri beberapa pemimpin daripada bertanding Naib Presiden UMNO, secara sah hanya tujuh individu yang akan merebut jawatan tersebut.
Namun, tujuh pemimpin yang bertanding itu dikatakan terdiri daripada dua puak iaitu pro-Zahid dan anti-Zahid seperti yang dimaklumkan kepada Xklusif oleh seorang penganalisis politik pada semalam.
Melihat kepada senarai individu yang bertanding jawatan naib presiden parti itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin menjangkakan dua nama bakal menjawat jawatan itu.
Menariknya, dua nama disebut Noor Nirwandy merupakan pemimpin yang dilihat berada dalam kelompok menyokong kepimpinan Ahmad Zahid.
Rekonsilasi kesetiaan pimpinan UMNO
Menurut Noor Nirwandy, pemilihan kerusi Naib Presiden UMNO merupakan cabaran penting buat ahli.
“Ini merupakan rekonsilasi pemilihan UMNO selepas berlakunya penggabungan dalam kalangan gabungan parti itu bersama Pakatan Harapan (PH).
“Ini secara jelas akan memperlihatkan kecenderugan penguntian terhadap kepimpinan parti itu pada kali ini,” katanya.
Perkara ini katanya, secara jelas menunjukkan yang dua nama berkemungkinan mempunyai kecenderungan tinggi untuk mengekalkan kedudukan itu.
Tradisi UMNO kekalkan penyandang
Selaku panyandang jawatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dijangka mampu mengekalkan jawatannya itu.
“Dia seorang menteri yang ada dalam parlimen dan merupakan seorang pemimpin senior UMNO serta sentiasa berada dengan parti walaupun parti berada dalam dugaan politik.
“Selain itu, Mohamed Khaled juga dilihat sebagai ‘coolman’ kerana beperwatakan lebih relaks dalam suasana tertentu dan ini memberi kelebihan kepadanya,” katanya.
Selain itu menurut Noor Nirwandy, Datuk Seri Mahdzir Khalid juga dilihat akan kekal mempertahankan jawatannya.
Perkara itu katanya disebabkan tradisi UMNO yang akan menyokong sesiapa yang menyandang jawatan dipertandingkan.
“Cuma, mungkin disebabkan Datuk Seri Ismail Sabri tidak bertanding, maka akan ada muka baharu yang akan menjadi cabaran kepada dua pemimpin ini,” katanya. – Xklusif