
Akibat mabuk, seorang lelaki warga asing maut dipukul rakan sekerja di sebuah kilang dekat Pulau Meranti di sini, semalam.
Pegawai perubatan Hospital Cyberjaya yang melaporkan perkara itu kepada polis memaklumkan, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dibawa untuk rawatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, mangsa berumur lingkungan 30-an dipercayai maut selepas mengalami kecederaan parah akibat dipukul.
“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Wan Kamarul Azran, berikutan itu polis menahan lapan lelaki warga asing dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
“Semua suspek dipercayai rakan sekerja mangsa ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
“Suspek berumur antara 30 hingga 45 tahun itu ditahan di kawasan Kampung Pulau Meranti, Puchong dan Kampung Baru Sungai Buloh,” katanya.
Menurut beliau, tangkapan turut menemukan sebatang kayu dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
“Siasatan berkaitan kes masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.