Berita

Putera Mateen, Dayang Anisha selamat diijab kabul

Majlis tersebut berlangsung dengan penuh istiadat Brunei di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, dan turut berkenan disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta kaum kerabat diraja

KUALA LUMPUR 11 Jan – Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan pasangannya, Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah, selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja sekitar jam 2.17 petang hari ini.

Majlis tersebut berlangsung dengan penuh istiadat Brunei di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, dan turut berkenan disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta kaum kerabat diraja.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei (RTB), dengan Putera Mateen, mengenakan busana serba putih.

Istiadat bersejarah itu dimulakan dengan awang-awang menyalakan Dian Empat sebagai lambang keunikan adat Istiadat Diraja Brunei.

Sebaik sahaja lafaz kabul disahkan, tembakan meriam sebanyak 17 das dilepaskan sebagai menandakan Istiadat Akad Nikah Diraja telah sempurna.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa selamat.

Sebelum itu, Awang Adam Abdullah iaitu ayah pengantin diraja perempuan, meminta Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Datuk Seri Paduka Setia Awang Salim menikahkan Dayang Anisha bersama pasangannya dengan mahar sebanyak seribu ringgit.

Istiadat tersebut menyusul selepas Majlis Istiadat Menghantar dan Menerima Tanda Diraja serta Pertunangan Diraja yang berlangsung pada 9 Januari lalu.

Istiadat perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari, dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari lalu.

Acara kemuncak iaitu Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja akan berlangsung di Istana Nurul Iman pada 14 Januari.

Mempelai pengantin diraja kemudian akan menyertai perarakan mengelilingi ibu kota Brunei, Bandar Seri Begawan, manakala Majlis Persantapan Diraja dijadual pada 15 Januari.

Putera Mateen, 33, merupakan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz.

Dayang Anisha, 29, pula merupakan cucu kepada Pehin Datuk Isa, yang merupakan penasihat khas kepada Sultan Brunei. – Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button