Puteri UMNO masih ‘awkward’ dengan PH
KUALA LUMPUR 8 Jun – Puteri UMNO memerlukan masa dan ruang secukupnya bagi menyesuaikan diri dengan perubahan, susulan asimilasi politik di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, mengaku canggung dengan perubahan berkenaan, biarpun asimilasi atau penyesuaian politik itu bukanlah suatu perkara baharu.
Ini kerana, katanya, Puteri UMNO sudah terbiasa dengan lenggok tersendiri dalam arena politik tanah air, selain menjelaskan sebati dengan budaya dan tradisi parti berkenaan yang diwarisi sejak dahulu.
“Saya faham, hendak terima perkara baharu dan asing, pasti sedikit aneh, mungkin masih lagi ada rasa terkejut. ‘Ditelan mati emak, diluah mati bapa’. Tidak mengapa, kita beri ruang dan masa seluasnya, sampai masa, saya yakin, kita boleh sesuaikan diri.
“Banyak negara di dunia hari ini melakukan asimilasi politik bagi menstabilkan kedudukan kerajaan yang turut memberi impak besar kepada perkembangan ekonomi negara. Kita juga tidak terlepas, dominasi semakin mengecil, asimilasi semakin melebar, perpaduan tampak sinarnya.
“Kita harapkan sampai masanya mereka boleh menerima, walaupun mungkin ada yang sampai bila-bila tidak boleh menerima asimilasi politik ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Datuk Seri Shahaniza Shamsudin dan Datuk Mohd Razlan Bin Muhammad Rafii.
Hadir sama, Ahli Jawatankuasa DAP merangkap Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ketua Srikandi PKR, Anetha Pillai dan Ketua Wanita Muda AMANAH, Nurthaqaffah Nordin.
Sementara itu, Nurul Amal menyeru semua ahli sayap itu memperluas perspektif serta memahami hikmah keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, walaupun memerlukan masa untuk menghadam perubahan berkenaan.
Selain itu, katanya, Puteri UMNO perlu menjunjung perpaduan yang menjadi teras kepada kerajaan, sekali gus memupuk kestabilan demi kepentingan rakyat, seperti dititah Yang di-Pertuan Agong.
Beliau juga menasihati ahli pergerakan itu agar menyahut perpaduan dihulurkan PH, demi kelangsungan UMNO, mudarat lebih kecil dan rakyat, ketika semua lapisan masyarakat memerlukan kerajaan yang stabil bagi merancakkan ekonomi dan pembangunan negara.
“Yang menang bukan menang semua, yang kalah bukan kalah semua, berbekalkan 30 kerusi dimenangi pada PRU15, kita menyumbang kepada perbentukan Kerajaan Perpaduan.
“Walaupun jumlahnya tidak seberapa, tetapi menjadi titik mula, malah inilah solidariti kita menoktahkan kemelut politik yang tiada kesudahan selepas PRU15.
“Mahu atau tidak, rela atau paksa rela, kita kena menerima kedinamikan politik. Mungkin selama ini kita selesa dengan budaya dan tradisi politik kita, program dan gerak kerja cara kita.
“Namun, demi kelangsungan pergerakan ini, marilah rakan semua bersama saya, kita lakukan anjakan paradigma dengan membuka ruang untuk bekerjasama dengan parti-parti lain di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, seruan bagi keterbukaan menerima asimilasi politik BN-PH bukan bermaksud pergerakan itu meninggalkan jati diri UMNO, sebaliknya terbuka menerima kedinamikan politik, selagi prinsip perjuangan tidak tergadai atau diperkotakkatikkan.
Beliau berkata, UMNO masih kekal sama, selain kekal mempertahankan asas dan tujuan perjuangan parti, namun pola pemikiran dan gerak kerja politik perlu lebih matang, selari tuntutan semasa.
Tegasnya, peranan Puteri UMNO tidak berubah, malah akan lebih terbuka dan terus menjadi lebih baik daripada segenap segi, diselarikan dengan anjakan mentaliti yang lebih matang. – Berita Harian