PUVET ATM memacu keusahawanan veteran tentera

TIMBALAN Menteri Pertahanan, Adly Zahari, baru-baru ini telah menyempurnakan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) peringkat negeri Johor. Kementerian Pertahanan melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP) memberi keutamaan dan komitmen terhadap inisiatif pembangunan modal insan dan sosioekonomi kepada bakal pesara dan veteran ATM.
Dasar Madani, menerusi tonggak ‘kesejahteraan dan insan’, menggariskan peranan Kementerian Pertahanan, ATM bersama PERHEBAT untuk membangunkan satu ekosistem yang menyediakan bakal pesara dengan latihan, pendedahan dan kemudahan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.
Maka, sejajar dengan tanggungjawab itu, PUVET ATM yang dilaksana Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) memfokuskan kepada pemerkasaan veteran dalam kerjaya kedua khususnya keusahawanan bagi membantu veteran dalam kelompok B40 untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
PUVET ATM berperanan sebagai pemudahcara dan penghubung untuk mengenalpasti dan menyalurkan insentif keusahawanan yang merangkumi khidmat kepakaran, fasiliti, geran dan latihan yang diperlukan oleh Usahawan Veteran ATM untuk memajukan perniagaan mereka.
Bagi memastikan inisiatif ini dapat dinikmati dengan lebih inklusif, Kementerian Pertahanan bersama PERHEBAT telah memeta kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Ekonomi.
Pada tahun 2024, manfaat PUVET ATM akan dilebarluaskan ke seluruh negara untuk mengenalpasti dan memadankan bentuk bantuan serta bimbingan keusahawanan yang diperlukan oleh veteran. Untuk tahun ini, Kementerian Pertahanan menyasarkan seramai 200 Usahawan Veteran ATM akan dapat dipadankan sebagai penerima geran. Sasaran itu dipacu oleh beberapa inisiatif yang sedang dilaksana PERHEBAT hasil kolaborasi bersama 4 institusi perbankan negara iaitu Agrobank, Affin Islamic Bank, Bank Muamalat Malaysia dan Bank Simpanan Nasional yang menyediakan latihan dan insentif perniagaan kepada veteran ATM.
Pada majlis tersebut, Adly turut menyampaikan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bernilai RM100,000.00 kepada 20 Usahawan Veteran ATM di Negeri Johor.
Menerusi PUVET ATM, veteran turut menikmati manfaat seperti pemadanan perniagaan atau business matching, akses terus kepada insentif keusahawanan seperti fasiliti, latihan dan konsultansi dalam aspek pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran.