Rafizi akui PM paling layak jadi Menteri Kewangan
Rafizi menolak cadangan Muhyiddin yang mahukan PM tidak memegang jawatan Menteri Kewangan.

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menolak cadangan Muhyiddin Yassin (Pagoh-PN) supaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak memegang jawatan menteri kewangan.
“Saya tak setuju. Tokoh yang paling baik jadi menteri kewangan adalah perdana menteri.
“Ini kerana (perdana menteri) yang paling ada tanggungjawab besar untuk memastikan tatakelola perolehan untuk elak seperti berlaku sebelum ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Muhyiddin bertanya sama ada Rafizi bersetuju supaya Anwar melantik menteri kewangan sepenuh masa dan mencadangkan nama Ahli Parlimen Pandan itu.
“Mungkin Yang Berhormat (Rafizi) dilantik jadi menteri kewangan,” kata Muhyiddin.
Pada September 2015, Rafizi yang ketika itu di blok pembangkang memfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen untuk menggubal satu akta yang menghalang seorang perdana menteri melantik dirinya sebagai menteri kewangan.
Ketika itu, Najib Razak memegang jawatan perdana menteri dan turut bertanggungjawab portfolio kewangan.
Bagaimanapun pada Disember tahun lalu, Rafizi berkata pelantikan Anwar dalam Kabinet kerajaan perpaduan sebagai menteri kewangan dibuat atas memandangkan situasi “luar biasa” politik kini.
Anwar pernah menjadi menteri kewangan dari 1991 sehingga 1998 sebelum dipecat oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.
Rafizi berkata perdana menteri sebelum ini yang turut memegang portfolio kewangan membuat kesilapan dengan memusatkan semua kuasa kepadanya.
“Jadi sekarang ini, dari segi pecahan kerjanya sebahagian besar dari perancangan dan pelan ekonomi ditentukan kementerian ekonomi kemudianya diusahakan kementerian bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut membidas Muhyiddin dan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak ‘menunggang’ rakyat dengan mengatakan tidak yakin ekonomi akan pulih di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan.
Beliau berkata belum pernah pertumbuhan ekonomi mengikut suku meningkat tiga kali berturut-turut, selain kadar peratus kemiskinan rendah, dan kenaikan gaji lebih tinggi. — FMT