Berita

Rafizi bersedia ‘lari’ lebih laju majukan ekonomi negara

Ada idea dan pendekatan baharu yang dirasakan akan memberi pulangan yang lebih baik bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan.

KUALA LUMPUR, Jan 4 — Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi gambaran bahawa beliau bersedia untuk ‘berlari’ dengan lebih pantas selepas genap sebulan memegang jawatan penting berkenaan.

Beliau berkata, ada idea dan pendekatan baharu yang dirasakan akan memberi pulangan yang lebih baik bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan.

Menjelaskan perkara itu, Rafizi percaya terdapat masalah dari segi pelaksanaan yang merencatkan prestasi ekonomi dan menyebabkan kenaikan kos.

Bagaimanapun, ia boleh ditangani mealui  projek berimpak tinggi yang akan memberi isyarat anjakan ekonomi diperlukan bagi menarik minat pelabur.

“Insya-Allah, dalam 10 kami usahakan, kalau pun tidak semua membuahkan 100 peratus hasil seperti yang dirancang, sebahagian besarnya akan mempunyai impak jangka masa sederhana dan panjang kepada negara.

“Ada perkara yang boleh diusahakan supaya hasilnya dirasai cepat, namun kebanyakan perencanaan ekonomi akan mengambil masa lebih setahun, sementara sebahagian besarnya memakan lebih masa,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Justeru katanya, tempoh sebulan pertama ini digunakan untuk berjumpa dan berbincang dengan pemegang taruh utama ekonomi negara.

Mereka termasuklah pembuat dasar, pelaksana, pihak swasta dan pemegang taruh lain. Secara umumnya, semua pihak memahami hala tuju ekonomi yang hendak dibawa.

“Mungkin apa yang dilakukan akan dirasai kesannya dengan segera dan ada hasilnya hanya dapat dituai dalam tempoh setahun dua atau tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Rafizi berkata, Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab mengalih haluan ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi supaya rakyat mendapat gaji yang boleh mengimbangi tekanan inflasi.

“Usaha mengekang inflasi banyaknya boleh dilaksanakan di peringkat pembekal seperti mempercepatkan pelaburan berteknologi tinggi dalam sektor makanan, mengawal harga (dengan membayar subsidi), meningkatkan persaingan pembekal (dengan menangani monopoli) dan menambah bekalan (termasuk mengimport).

“Tetapi usaha di sebelah pembekal ini perlu juga diiringi dengan inisiatif di sebelah penawaran, termasuklah mengusahakan kenaikan gaji yang munasabah supaya rakyat tidak merasa terlalu terbeban dengan kadar inflasi semasa dan menggalakkan tabiat pengguna yang lebih sensitif kepada harga agar permintaan lebih anjal.

“Pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertikai setiap usaha kerajaan. Ada dari kalangan mereka yang memperli konon saya hanya nampak gah semasa pembangkang tetapi tidak berkesan sebagai kerajaan.

“InsyaAllah, itu satu cabaran yang saya akan sahut. Cuma bila komen begitu datang dari mereka yang menjadi kerajaan setelah menebuk atap selama 33 bulan, bunyinya nampak seperti meludah ke langit,” katanya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, soal keperluan menganjak ekonomi negara ke arah ekonomi digital berteraskan inovasi, ekonomi yang seimbang dengan kelestarian alam sekitar, aplikasi teknologi yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan adalah matlamat ekonomi yang tidak boleh dipertikaikan.

“Ujian sebenar kepadanya adalah bagaimana untuk melaksanakan anjakan-anjakan ini yang kesannya dapat dirasai oleh rakyat.

“Selepas lima tahun, saya serahkan kepada penilaian rakyat mengenai prestasi saya sebagai menteri dan Pakatan Harapan sebagai sebahagian dari Kerajaan Perpaduan,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button