Ekonomi

Rafizi maklum Inflasi turun 2%, terendah dalam tempoh setahun

Rafizi berkata ia merupakan kadar inflasi terendah dalam tempoh setahun dan mencerminkan trend harga yang semakin stabil dan berterusan.

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Kadar inflasi negara pada Julai turun kepada 2 peratus berbanding 2.4 peratus pada bulan sebelumnya, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, ia merupakan kadar inflasi terendah dalam tempoh setahun dan mencerminkan trend harga yang semakin stabil dan berterusan.

“Kategori makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang bahagian terbesar perubahan inflasi pada kadar 4.4 peratus.

“Secara positifnya, kadar inflasi makanan dan minuman bukan alkohol turun hampir 3.0 peratus daripada 6.8 peratus pada Disember 2022 kepada 4.4 peratus pada Julai 2023,” katanya.

RAFIZI
Rafizi berkata pengurangan kadar inflasi menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.

Rafizi berkata pengawalan kadar inflasi adalah salah satu keutamaan kerajaan dalam memastikan inflasi tidak meningkat secara drastik dan terkawal.

Sebagai tindakan proaktif, katanya, satu kertas dasar sedang dibangunkan untuk mengkaji pengurangan Approved Permit (AP) dan Import Permit (IP).

“Kertas dasar ini dijangka akan dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) tidak lama lagi.

“Dengan mengurangkan atau mengehadkan AP dan IP, kerajaan berharap akan dapat menurunkan harga barang, khususnya barang import. Ini akan secara langsung membantu meningkatkan kuasa beli rakyat dan meringankan kesan inflasi,” tambahnya.

Katanya, kerajaan juga akan memperbaiki peraturan anti-monopoli dan persaingan untuk memastikan pasaran lebih kompetitif.

“Dengan meningkatkan persaingan, harga barang dan perkhidmatan akan menjadi lebih berpatutan,” ujarnya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button