Rafizi nafi PADU satu pembaziran, dibangunkan demi kaut keuntungan
PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam menggunakan peruntukan dan infrastruktur sedia ada.

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Kerajaan menolak dakwaan pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) yang bakal dilancar Selasa depan, adalah pembaziran dan dibangunkan demi mengaut keuntungan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menegaskan PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam menggunakan peruntukan dan infrastruktur sedia ada, tanpa pembukaan tender baharu kepada pihak swasta.
Beliau menjelaskan, pembangunan PADU tidak membabitkan perbelanjaan tambahan kepada perbelanjaan negara seperti yang sering berlaku setiap kali ada sistem baharu yang mahu diperkenalkan kerajaan.
“Bagi saya, padunya PADU ini kerana ia melibatkan keseluruhan kepakaran dan tenaga penjawat awam, bukan perunding dan kontraktor luar.
“Justeru ia tidak melibatkan perbelanjaan tambahan seperti yang selalu berlaku setiap kali ada sistem baru yang diperkenalkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Rafizi berkata, sistem itu membabitkan kepakaran tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
Katanya, sistem itu dibangunkan dalam tempoh masa singkat iaitu tujuh bulan bermula Mei hingga Disember tahun ini yang berjaya mengatasi pelaksanaan projek sistem yang dikendalikan pihak swasta sebelum ini.
“PADU tidak akan melibatkan pembayaran setiap tahun kepada penyedia sistem pihak swasta seperti yang selalu berlaku kerana ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dan milik kerajaan sepenuhnya.
“PADU berjaya disediakan dalam tempoh yang singkat dan tanpa peruntukan tambahan kerana hasil penat lelah penjawat awam yang bersengkang mata selama tujuh bulan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan PADU pada 2 Januari depan, yang menjadi pembangunan sistem pangkalan data terbesar pernah dilaksana sektor awam dan dianggap paling besar dalam sejarah negara.
Ia bakal merangkumi maklumat lengkap termasuk puluhan perincian seperti nama, umur, jantina dan isi rumah bagi setiap 32 juta rakyat Malaysia yang membentuk ratusan juta titik data di dalam PADU.
Sistem itu akan dibuka selama tiga bulan untuk membolehkan semua warga negara mengesahkan dan mengemaskini data sosioekonomi mereka bertujuan memudahkan penyaluran bantuan termasuk subsidi. — Berita Harian