Berita

Raja Petra tak layak ulas isu politik negara

Raja Petra sendiri tidak berani berdepan undang-undang di negara ini sehingga memilih tinggal di negara asing

ALOR SETAR 16 Jan – Penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin dianggap sudah tidak mempunyai kredibiliti mengulas isu politik negara kerana ‘melarikan diri’ ke England ketika berhadapan beberapa kes mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Raja Petra sendiri tidak berani berdepan undang-undang di negara ini sehingga memilih tinggal di negara asing.

“Berkaitan Raja Petra saya tak mahu ulas apa-apa, keadaan tidak mengubah apa-apa fakta bahawa dia membawa diri ke Manchester setelah pelbagai proses tindakan mahkamah, beberapa penghakiman awal ke atas beliau, beliau memilih untuk berada di negara lain.

“Berbanding berdepan dengan undang undang, itu menceritakan segala-galanya, dari segi itu, saya tak fikir dia ada kredibiliti lagi untuk layak kita bagi ulasan dalam suasana sekarang, rugi kolum untuk siar dalam ruangan akhbar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi lawatan kerja ke projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah-Anak Bukitdi sini, hari ini.

Justeru, Saifuddin menyarankan agar semua pihak tidak mengendahkan ulasan Raja Petra dan memberi tumpuan untuk pembangunan negara.

“Biar kita urus negara kita dengan baik, jaga kebajikan rakyat daripada kita ‘terkalih’ mengulas hal dia. Dia sudah pun ada beberapa keputusan mahkamah sebelum ini ke atas dia sudah jelas, kita Google akan menunjukkan itu,” katanya.

Raja Petra dalam blognya semalam, menasihatkan kerajaan dan Ketua Polis Negara menyemak terlebih dahulu kesahihan undang-undang sekiranya mahu menangkap atau mendakwanya atas tuduhan menghasut atau memfitnah berhubung Langkah Dubai.

Kelmarin, media melaporkan polis akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi menentukan tindakan ke atas Raja Petra berhubung dakwaan terdapat gerakan ahli Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan yang dikenali sebagai Langkah di Dubai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan, berkata selain pengasas dan penulis portal Malaysia Today itu, beberapa individu lain juga akan dipanggil berhubung dakwaan (Langkah Dubai). – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button