Berita

Rakyat dah lama tunggu SPRM siasat Tun M, Tun Daim

Mohd Puad berkata, banyak misteri mengenai kekayaan Daim

KUALA LUMPUR 2 Jan – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin harus menerima hakikat mereka tidak kebal daripada disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, rakyat sememangnya menunggu giliran kedua-dua bekas pemimpin negara itu untuk disiasat susulan kebocoran maklumat Kertas Pandora mengenai kekayaan yang dimiliki Daim.

“Rakyat memang tunggu giliran Tun M dan Tun Daim disiasat. Dia kena terima hakikat. Dia tidak kebal. Biar SPRM siasat. Kekayaan Daim bocor bila viral Kertas Pandora.

“SPRM kata siasatan terhadap Tun Daim berdasarkan Kertas Pandora. Baru rakyat tahu dua anak Daim memiliki syarikat BVI (British Virgin Island) ketika berumur sembilan dan 12 tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohd Puad berkata, banyak misteri mengenai kekayaan Daim.

“Apakah kandungan Kertas Pandora itu benar? Biar SPRM siasat. Kita pun hairan kenapa Tun Daim tidak tersenarai 50 orang terkaya dalam ‘Forbes Malaysia’. Apa rahsianya?” soalnya.

Menurut Mohd Puad lagi, sekiranya Daim direman dan didakwa di mahkamah berhubung dakwaan rasuah dan penggubahan wang haram, ia bakal menjadi ‘tajuk besar’ pada 2024 ini.

Ujarnya, perkara itu bukan sesuatu yang menghairankan kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga pernah melalui pengalaman sama.

“Kalau betul Tun Daim akan disiasat, direman dan didakwa ia akan jadi tajuk besar untuk 2024. Tidak pelik pun. Najib bekas Perdana Menteri sudah melalui pengalaman itu.

“Rumah diserbu, akaun disita, satu malam ditahan di pejabat SPRM, didakwa, dibicara dan akhirnya dipenjara. Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak lama lagi akan dibicara,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button