Rakyat Malaysia ‘tersangkut’ di luar negara sebab hutang judi
Ada juga segelintir warganegara ini yang tiada kaitan dengan penipuan pekerjaan di luar negara, namun tetapi perlu 'diselamatkan' dan dibawa pulang
KUALA LUMPUR 7 Nov – Polis Diraja Malayaia (PDRM) terpaksa membawa pulang sebilangan rakyat negara ini yang dihalang kembali ke tanah air kerana berjudi.
Golongan itu didapati berhutang dengan ceti haram atau along di luar negara dan perlu dianggap seolah-olah mangsa sindiket penipuan pekerjaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang mendedahkan perkara itu berkata, ada juga segelintir warganegara ini yang tiada kaitan dengan penipuan pekerjaan di luar negara, namun tetapi perlu ‘diselamatkan’ dan dibawa pulang.
Jelasnya, kategori mangsa sindiket penipuan pekerjaan itu dibuat berdasarkan maklumat diperoleh PDRM menerusi profiling yang dijalankan hasil temubual bersama mangsa.
“Pertama, memang secara naifnya mereka terpengaruh tetapi mereka pergi juga, itu betul.
“Kedua, dari mula lagi mereka sudah tahu ini adalah scam (penipuan) tetapi masih nak cuba.
“Ketiga, mereka tidak ada kena mengena dengan scam pun, tetapi pergi secara sukarela kerana tujuannya nak berjudi di luar negara. Kalah pinjam along dan segala macam (berlaku) tak boleh balik (Malaysia). Mereka hubungi kedutaan kita, hubungi polis, kita masih pergi selamatkan.
“Kategori ketiga ini tidak ada kena mengena dengan scam tetapi kita selamatkan juga dalam misi seolah-olah mereka mangsa scam.
“Keempat adalah ada yang betul-betul menjadi mangsa. Kita selamatkan dan bawa pulang tapi ada juga yang pergi semula ke luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara dalam program Naratif Khas bertajuk ‘Pasca Belanjawan 2024: Memperkukuh Perpaduan dan Keselamatan Negara’ yang disiarkan secara langsung di TV1, malam ini.
Berdasarkan data diperoleh PDRM, Saifuddin Nasution berkata, antara modus operandi sindiket yang dikesan ialah mencari mangsa yang mudah terpedaya dengan tawaran gaji lumayan dan beberapa faedah lain apabila bekerja di luar negara.
Bagaimanapun, tegasnya, ia berubah apabila mangsa tiba di negara berkenaan dan mendapati apa yang dijanjikan tidak seindah seperti yang dikhabarkan.
“Penipuan atau scam pekerjaan ini misalnya, angka itu terus meningkat. Mereka ditawarkan pekerjaan dengan upah lumayan dan dibayar dalam dolar Amerika, bekerja di luar negara.
“Mereka diberikan tiket penerbangan, dijamin tempat tinggal dan diberi gambaran kerja yang mudah.
“Justeru, ada rakyat negara kita tertarik dan apabila mereka sampai, ceritanya tidak seindah khabar. Itu yang berlaku. Akibatnya mereka terperangkap dan hal itu diterima aduannya sama ada melalui keluarga atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), disampaikan kepada pasukan polis.
“Kita uruskan operasi menyelamat sama ada melalui kerjasama, Wisma Putra dengan kedutaan negara berkenaan atau di peringkat ASEANAPOL atau polis antara polis. Kita guna semua ikhtiar,” katanya.
Beliau berkata, misi akhir ialah menyelamatkan mangsa berdasarkan ‘right to return (hak untuk pulang) dan tidak mengambil kira sama ada mereka terpedaya atau sebaliknya.
Apa yang penting, katanya, ialah membawa mereka pulang ke tanah air dan ia dikendalikan oleh pasukan PDRM mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
“Kita mempunyai pasukan petugas khusus untuk itu,” katanya. – Bernama