Rakyat menjerit di bawah sana, harga beras naik, harga barang naik – Shahidan
Shahidan minta kerajaan hentikan peruntukan bagi pembangunan dan beri tumpuan kepada kenaikan harga barang

KUALA LUMPUR 18 Sept – Kerajaan digesa menumpukan perhatian kepada isu kenaikan harga beras dan barangan lain yang menghimpit rakyat ketika ini.
Permintaan itu dibuat Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) di Dewan Rakyat dengan menyatakan kerajaan perlu menghentikan segala peruntukan dan pembangunan, sebaliknya memberi tumpuan kepada kenaikan harga beras tempatan, cili kering, bawang merah dan bawang putih.
“Tinjauan di Tampoi dan Masai menunjukkan kenaikan antara 30 hingga 40 peratus. Ini mendatangkan kesan yang hebat kepada negara.
“Beras tempatan tidak ada di Johor. Saya sudah pergi merata tempat dan negeri lain.
“Di Kedah saya sempat suruh kawan-kawan saya beli sekampit (beras). Harganya tiga minggu lalu ialah RM23. Sekarang RM35 (dan) ini adalah beras tempatan.
“Gula berkurangan dan pelbagai lagi. Masalah ini akan menimbulkan keluh-kesah rakyat, rakyat menjerit di bawah sana, harga beras naik, harga barang naik,” katanya.
View this post on Instagram
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor kemudiannya mengambil maklum usul itu dan turut membacakan surat jawapan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ramli memaklumkan Johari sudah meneliti usul dibawa oleh Shahidan dan menolaknya.
“Saya telah meneliti usul Yang Berhormat (YB) dan mendapati usul YB tidak terjumlah di bawah urusan majlis khas yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian, di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3), saya tidak dapat membenarkan usul YB dibawa ke Majlis Mesyuarat.
“Justeru, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18 (7) (c), saya menolak usul YB dalam kamar,” katanya.
Ramli berkata, pihaknya turut percaya menteri yang bertanggungjawab akan menjawab isu itu di Dewan Rakyat. – Xklusif