Politik

Ramasamy dedah krisis dalaman DAP

Terdapat langkah penyingkiran politik dibuat dalam parti itu yang menyebabkannya beliau meletakkan jawatan.

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Pemimpin veteran DAP, Dr P Ramasamy mendedahkan terdapat langkah penyingkiran politik dibuat dalam parti itu yang menyebabkannya beliau meletakkan jawatan.

Perkara itu menurut Ramasamy terbukti apabila nama beliau dan lima ahli dewan undangan negeri (ADUN) tidak dicalonkan dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

“Alasan yang diberikan adalah proses rejuvenasi, tetapi apa yang sebenarnya berlaku adalah penyingkiran politik. Saya faham mengapa pemimpin kanan digugurkan tetapi bukan calon-calon muda.

“Pimpinan DAP memaklumkan saya akan digugurkan selepas keputusan dibuat pada 18 Julai lalu. Penyingkiran ini dilihat dibuat kepada mereka yang menyokong Chow Kon Yeow,” katanya.

Pendedahan itu dibuat selepas mengumumkan keputusannya keluar dari DAP yang dianggotainya pagi tadi.

Ramasamy dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di akaun media sosialnya memaklumkan, beliau turut melepaskan semua jawatannya dalam DAP iaitu sebagai ahli, Pengerusi DAP cawangan dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa DAP Pulau Pinang.

Ramasamy turut memaklumkan surat perletakan jawatannya telah dihantar kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Pengerusi Jawatankuasa DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada jam 8.24 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Ramasamy mendakwa, ada kemungkinan Kon Yeow tidak akan dilantik semula sebagai Ketua Menteri walaupun pimpinan tertinggi DAP telah memberi jaminan sebelum ini.

Hal itu menurut beliau kerana Kon Yeow tidak mempunyai sokongan daripada calon-calon DAP dalam PRN kali ini.

Dalam pada itu, Ramasamy mendakwa, langkah penyingkiran politik itu berkait rapat dengan seorang individu dalam DAP yang digelar sebagai ‘maharaja’.

Menurut Ramasamy, individu tersebut merupakan punca kepada segala krisis yang berlaku di Pulau Pinang selama ini.

“Kepimpinan parti di peringkat kebangsaan nampaknya bergantung kepada individu yang digelar maharaja ini,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button