Berita

Ramasamy kumpul RM1.52 juta bayar saman Zakir Naik

Ramasamy menganggap kejayaan itu sebagai hadiah Deepavali buatnya.

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Bekas pemimpin DAP P Ramasamy berjaya mengumpul RM1.52 juta melalui pendanaan awam untuk membantu beliau membayar saman kepada penceramah Dr Zakir Naik seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi.

Ramasamy berkata setakat jam 11 pagi ini, kutipan dana itu berjaya mengumpul RM1,523,187.83.

“Usaha yang hebat daripada penderma dari semua bahagian masyarakat. Ini adalah hadiah Deepavali terbaik.

“Buat masa ini sumbangan ini dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu melancarkan kutipan derma selepas Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz pada 2 Nov lalu memutuskan beliau bersalah memfitnah Zakir dalam lima kenyataan yang dibuat antara 2017 hingga 2019.

Ramasamy berkata, beliau akan merayu keputusan itu, dan sekiranya Mahkamah Rayuan menerima rayuannya, wang itu akan didermakan kepada mereka yang memerlukan.

Zakir yang juga penduduk tetap negara ini berkata, beliau berhasrat mendermakan semua wang RM1.52 juta kepada Palestin susulan perang di Gaza. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button