‘Rasa nak pindah duduk Terengganu’, rakyat puji arahan tutup semua kedai selama 2 jam ketika solat Jumaat
Arahan penutupan operasi itu bukan sahaja membabitkan pasar raya, sebaliknya semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan
KUALA TERENGGANU 9 Jan – Premis perniagaan dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) diarah menutup operasi selama dua jam pada setiap Jumaat.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, penutupan operasi semua premis perniagaan bermula jam 12.30 tengah hari dan jam 2.30 petang setiap Jumaat, berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.
Katanya, arahan penutupan operasi itu bukan sahaja membabitkan pasar raya, sebaliknya semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan.
“Pemilik pasar raya dan semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan diminta memberi kerjasama memastikan aktiviti tidak beroperasi dalam tempoh itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Arahan penutupan premis perniagaan dua jam pada setiap Jumaat bukan isu terbaru, sebaliknya kerajaan negeri pernah mengeluarkan arahan pada waktu solat Jumaat pada 2014.
Semua pemilik premis perniagaan dan pasar raya serta kedai menjual pakaian akur dengan arahan itu apabila tidak menjalankan aktiviti perniagaan pada masa ditetapkan.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, MBKT akan mengambil tindakan termasuk membatalkan lesen perniagaan jika pemilik premis perniagaan gagal mematuhi arahan dikeluarkan.
“Jika kita dapati pemilik semua premis perniagaan gagal mematuhi arahan ditetapkan, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan berdasarkan undang-undang yang digunapakai,” katanya.
Tinjauan Xklusif di sosial media mendapati rata-rata warganet memuji arahan penutupan operasi perniagaan selama dua jam itu sambil menyifatkan negeri itu semakin maju dan terbaik.
“Alhamdulillah terbaik contoh perlu diikuti seluruh Malaysia,” kata Raja Fauziah.
“Terbaik. Hormati waktu solat Jumaat. Pemerintah ada kuasa, guna kuasa ke arah kebaikan dan jalan menuju akhirat. Kita bukan nak hidup atas dunia semata-mata,” kata Nasrul Nawai.
“Alhamdulillah semoga dipermudahkan permulaan yang baik harap banyak lagi perubahan untuk rakyat Malaysia khasnya umat Islam. Rasa macam nak pindah Terengganu kalau macam ni,” kata Hasnibullah. – Xklusif