‘Rating’ Anwar akan naik semula, tapi ada syarat
Merdeka Centre pada semalam melaporkan rating penerimaan Anwar jatuh berbanding tahun sebelumnya.

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mampu menaikkan semula ‘rating‘ penerimaannya tahun depan namun dengan syarat tertentu.
Penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, penurunan ‘rating‘ penerimaan Anwar adalah disebabkan kerajaan terpaksa tumpukan perhatian kepada dua perkara.
“Pertama, adalah untuk memenuhi tuntutan 19 entiti termasuk di Sabah dan Sarawak dan perkara ini bukan sesuatu yang mudah.
“Kedua pula ialah faktor pembangkang yang terus mencaturkan permainan mereka mempunyai sokongan cukup untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada Xklusif.
Menurutnya, dua faktor yang menjadi masalah dalaman itu menyebabkan tumpuan untuk mentadbir negara dengan mengeluarkan dasar-dasar kurang populis itu agak terbantut.
Tetapi jelasnya, selepas empat ahli Bersatu menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, besar kemungkinan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membuat lagi percaturan mereka mempunyai angka yang cukup dan sebagainya.
“Selain itu, tuntutan 19 entiti itu pun sudah agak reda dan dapat ditangani dengan kestabilan kerajaan perpaduan yang mendapat sokongan 148 kerusi.
“Ketiadaan dua faktor ini dilihat dapat memberi ruang kepada Anwar dan kerajaan perpaduan untuk memberi tumpuan kepada dasar jangka pendek dan panjang. Bukan sekadar dasar untuk menyedapkan hati sahaja,” katanya.
Terdahulu, firma tinjauan pendapat Merdeka Center melaporkan rating penerimaan terhadap Anwar Ibrahim menurun selepas setahun pentadbirannya
Mesej kurang sampai, portfolio penting diberi kepada yang mampu
Menurut Azmi, ada syarat penting yang perlu dilakukan Anwar menaikkan semula ‘rating‘ penerimaannya dalam kalangan rakyat.
“Apa yang penting ialah mesej itu sampai kepada rakyat dan buat masa sekarang, ada agensi kerajaan yang gagal berbuat demikian.
“Malah, Anwar juga bila bercakap terlalu tinggi bahasanya dan ini membuatkan mesej tidak disalurkan dengan betul.
“Sebagai contoh, status pengumpulan semula kumpulan B40, M40 dan T20 mengikut pendapatan isi rumah dan dicampur berapa orang dalam serumah.
“Ini sesuatu yang bagus kerana manfaat bantuan kerajaan dapat dilebarkan lagi khususnya kepada M40 yang sebelum ini sering mendakwa mereka disisihkan,” katanya.
Namun kata Azmi, perkara itu tidak sampai dan tidak dijelaskan dengan baik kepada rakyat.
Selain itu, Anwar juga perlu memberikan portfolio yang penting kepada individu yang betul-betul mampu menggalasnya.
“Ketika ini, jawatan yang diberikan mengikut hierarki dan kuota parti.
“Tetapi disebabkan kekangan sudah tiada, maka rombakan kabinet perlu dilakukan dengan lebih teliti untuk mendapatkan hasil yang sepatutnya,” katanya. — Xklusif