Reezal Merican dilantik Pengerusi Matrade

KUALA LUMPUR 2 Mei – Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Reezal Merican Naina Merican dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkuat kuasa serta-merta.
Agensi terbabit mengesahkan pelantikan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu menerusi Facebook hari ini.
Matrade ialah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang ditugaskan bagi melaksanakan inisiatif promosi perdagangan untuk negara.
Reezal Merican menyertai senarai beberapa ahli politik yang dilantik mengetuai agensi kerajaan di bawah kerajaan semasa.
Mac lalu, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai pengerusi Mara, manakala Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR, Bakhtiar Wan Chik dilantik mengetuai MyCreative Ventures Sdn Bhd.
Pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub sebagai pengerusi Felcra turut disahkan Mac lalu.
Warganet dan kumpulan sivik mengkritik pelantikan politik tidak konsisten dengan desakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk pembaharuan dan amalan tadbir urus baik. — Xklusif