Reformasi 25 tahun hanya buang masa, tenaga
Reformasi yang diperjuangkan selama ini bukan reformasi kepada negara sebaliknya hanyalah kepentingan peribadi pihak tertentu

MUAR 8 Sept – Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan reformasi yang diperjuangkan lebih 20 tahun lalu sebagai membuang masa dan tenaga.
Beliau mendakwa, perkara itu adalah kerana reformasi yang diperjuangkan selama ini bukan reformasi kepada negara sebaliknya hanyalah kepentingan peribadi pihak tertentu.
“Berapa ramai rakyat yang beri undi tiba-tiba mereka dibohongi oleh pemimpin yang berjanji kepada rakyat.
“Kami ini terlibat dalam waktu reformasi, berapa ramai yang kena gas pemedih mata, berapa ramai yang kena tangkap? Berapa ramai kita berhimpun, habis masa dan tenaga?
“Yakin, bahawa kita perlukan satu reformasi negara kita. Tetapi kita mula melihat bukan reformasi negara yang dibawa tapi agenda peribadi sehingga membelakangkan aspek-aspek yang sepatutnya tidak dilanggari oleh pemimpin,” katanya berucap dalam Program Grand Finale Perikatan Nasional (PN) Simpang Jeram di sini, malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud; Ketua Penerangan PN Datuk Seri Azmin Ali; Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.
Menurut Tuan Ibrahim, perjuangan berkenaan kini hanyalah untuk dua kepentingan pemimpin negara sedia ada hari ini.
“Bila bertembung dua kepentingan, kepentingan orang mahu jadi perdana menteri mati-matian sanggup buat apa saja demi mendapatkan jawatan.
“Bertembung dengan orang yang ada kes peribadi yang sanggup bersekongkol apa sahaja supaya pastikan tindakan atau kesalahannya, tuduhannya dapat dibebaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian tanpa memetik nama mana-mana pihak. Namun kenyataan terbabit jelas merujuk kepada keputusan kes mahkamah membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) mahkamah apabila pihak pendakwaan menghentikan prosiding yang sedang berjalan.
Tambah Tuan Ibrahim, beliau tidak pelik apabila keluar keputusan pendakwaan tidak meneruskan dakwaan terhadap kes presiden UMNO berkenaan.
Tuan Ibrahim turut mendakwa langkah yang diambil oleh pemimpin UMNO sudah lama dirancang termasuk tindakan parti itu memecat beberapa tokoh kanan parti terbabit.
“Di Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dibuang, Tan Sri Noh Omar dibuang. Kita rasa pelik… kenapa? Sebab UMNO tidak boleh menang lebih daripada PH, barulah Anwar Ibrahim akan jadi perdana menteri.
“Kalau PN menang besar, yang akan jadi perdana menteri adalah Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya.
Tegas beliau, atas sebab itu orang ramai diminta untuk tidak percaya kepada tindakan DAP yang dilihat dengan tegas menuntut penjelasan daripada Peguam Negara Idris Harun berhubung kes Ahmad Zahid.
“Ketetapan menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid itu dibuat ketika Idrus Harun sudah bercuti sebelum bersara.
“Siapa mahu buat kenyataan? Peguam negara yang ada sedang bercuti, peguam negara yang baharu belum dilantik. Jadi, ketika kejadian siapa punya arahan?” soalnya. — Berita Harian