Berita

Remaja berjaya lari daripada dikurung penagih dadah, adik masih hilang

Dua beradik itu dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu.

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor pada 1 Januari lalu, ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, pada malam Khamis lalu selepas dikurung.

Ibu mangsa yang berusia 39 tahun berkata, anaknya yang mesra dengan panggilan Along, berusia 17 tahun mendakwa dia dan adiknya, yang berusia 16 tahun, dilarikan individu tidak dikenali sebelum dibawa dan dikurung di sebuah motel di Jalan Petaling.

“Along mendakwa dia dikurung bersama adiknya hingga 9 Januari lalu sebelum dipisahkan. Dia bagaimanapun berjaya melarikan diri ketika lelaki yang menjaganya tertidur akibat pengaruh dadah dan turut berjaya melarikan telefon bimbit milik lelaki itu,” katanya.

Beliau berkata, sejurus selepas melarikan diri, anak sulungnya menghubunginya menggunakan telefon bimbit berkenaan untuk memaklumkan keberadaannya dan dia kemudian menelefon polis bagi memaklumkan perkara itu.

Anggota polis dari Balai Polis Tun HS Lee kemudian, bergegas ke lokasi anaknya berada dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

“Along kemudian membawa polis ke tempat dia dikurung dan saya difahamkan seorang lelaki ditahan berhubung kehilangan kedua-dua anak saya itu,” katanya yang kemudian membawa pulang anaknya itu selepas diserahkan oleh polis pada tengah malam Jumaat lalu.

Wanita itu mendakwa, hingga kini anaknya sering meracau dan menjerit dalam tidur.

Pada masa yang sama, beliau berharap seorang lagi anaknya dapat ditemukan segera dan memohon orang ramai bersama-sama mendoakan anaknya itu dijumpai selamat.

Pada 4 Januari lalu, media melaporkan dua beradik lelaki, masing-masing berusia 16 dan 17 tahun dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Selangor, pada pagi 1 Januari lalu.

Kedua-dua remaja itu dilaporkan hilang selepas pulang dari solat Subuh di surau kawasan perumahan mereka di Taman Bernam Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima pemakluman kes itu dan sedang disiasat pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button