PETALING JAYA: Seorang remaja yang menaiki bas ekspres maut akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket kuasa di dalam bas yang dinaikinya untuk perjalanan ke KL Sentral semalam.
Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abd Rahman, berkata pemandu bas melaporkan kejadian itu berlaku 10 minit selepas mangsa, Nur Asymawi Jasmadi, 18, menaiki bas di terminal bas Penang Sentral di Butterworth.
Anuar berkata seorang penumpang melaporkan bahawa jeritan didengar dari mangsa, yang ditemui dengan buih di mulutnya. Sebuah ambulans dipanggil, namun pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan ke atas mayat di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan terbakar pada jari kiri mangsa, dipercayai akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya,” kata Anuar, menurut laporan Berita Harian. Hujung kabel yang digunakan mangsa didapati cair dan alat pengecas yang terlibat juga panas.
Anuar berkata, hasil bedah siasat mengesahkan bahawa remaja tersebut meninggal dunia akibat renjatan elektrik.