Rider Ducati jatuh setinggi 30 meter, penunggang lawan arus larikan diri – Polis

KUALA LUMPUR 14 Jun – Polis mengesahkan kemalangan yang berlaku di Lebuhraya SUKE (susur Hulu Klang( dari arah Ampang menghala ke Hulu Klang merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 1.10 petang tadi.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati, kemalangan dipercayai berlaku semasa penunggang motosikal jenis Ducati Panigale yang sedang melalui jalan berselekoh cuba mengelak sebuah lagi motosikal yang dipandu secara melawan arus.
“Mangsa kemudian terus melangar penghadang sebelah kiri jalan sebelum terjatuh ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azam, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan SMART Sg. Klang.
Jelasnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala sebuah lagi motosikal yang terlibat dalam kejadian ini telah meninggalkan tempat kejadian dan tindakan untuk mengesan sedang dijalankan.
“Rakaman CCTV telah dikenalpasti dan akan diteliti dengan pihak Lebuhraya SUKE dan saksi bebas kejadian sedang dikesan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca dari kecuaian penunggang motosikal melawan arus yang tidak dikenal pasti kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian,” katanya.
Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Bin Muhamat Basir di talian 011-1307 8348. — Xklusif