Berita

RM11.8 bilion laksana 33 projek tebatan banjir

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selaku agensi utama bagi persiapan banjir diperuntukkan sebanyak RM300 juta

KUALA LUMPUR 13 Okt – Sebanyak 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi akan mula dilaksana dengan kos RM11.8 bilion.

Antara projek itu termasuk Rancangan Tebatan Banjir di Lembangan Sungai Pahang, Pahang; Sungai Langat Fasa 2, Selangor; Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah; Kuching Fasa 2, Sarawak; Baling Fasa 2, Kedah dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2, Kelantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selaku agensi utama bagi persiapan banjir diperuntukkan sebanyak RM300 juta.

Katanya, ia termasuk RM100 juta yang bakal disalurkan segera menggunakan peruntukan tahun 2023 bagi memastikan kelancaran persiapan banjir hujung tahun ini.

“Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) meletakkan jumlah peruntukan yang besar bagi membiayai projek tebatan banjir iaitu mencecah RM22 bilion.

“Projek berimpak tinggi jangka panjang ini amat mustahak bagi menjamin kemaslahatan rakyat dan membendung lebih banyak kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.

“Pendirian Kerajaan tetap tegas dalam soal perolehan bahawa ia hendaklah dilaksanakan secara tender bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Surat Setuju Terima (SST) bagi 24 projek dijangka akan dikeluarkan bulan ini, membabitkan kos keseluruhan RM5.1 bilion, manakala bakinya akan dikeluarkan SST pada suku pertama 2024.

“Sementara itu, sebanyak RM20 juta disediakan kepada 150 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button