RM110 juta untuk baik pulih, naik taraf pusat penjaja, prasarana pasar awam
Penaiktarafan dan membaik pulih pusat penjaja serta prasarana pasar awam itu akan dilakukan di 150 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Sebanyak RM110 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan menaik taraf pusat penjaja dan prasarana pasar awam yang uzur tahun hadapan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, penaiktarafan dan membaik pulih pusat penjaja serta prasarana pasar awam itu akan dilakukan di 150 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Selain itu, kata beliau, kerajaan juga menyasarkan sebanyak 10,000 gerai dan warung kecil untuk diperindah serta ditingkatkan tahap kebersihan dengan peruntukan RM10 juta.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan RM50 juta disediakan bagi membina 4,000 unit ruang niaga baharu yang seragam, selesa dan selamat di seluruh kawasan PBT.
Pada masa sama, beliau memberitahu, kerajaan turut bersetuju mengecualikan bayaran sewa kiosk bagi enam bulan pertama untuk rakyat berniaga.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, agensi Majlis Amanah Rakyat (Mara); Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB); Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan turut menaik taraf kemudahan perniagaan mereka.
“Ekonomi rakyat akan terus diangkat dan dimartabat. Saya tetap dengan azam yang sama iaitu mahu negara ini dikenali dengan kemudahan peniaga, gerai dan warung yang bersih, indah dan selamat.
“Saya beri jaminan bahawa kebajikan penjaja serta peniaga di pasar-pasar akan terus dipelihara bagi memastikan keselesaan buat mereka dan pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Belanjawan 2024 Malaysia MADANI dibentangkan itu menyaksikan sebanyak RM393.8 bilion diperuntukkan – nilai tertinggi berbanding bajet-bajet yang dinyatakan sebelum ini. — Xklusif