Berita

RM125.13 juta diagih untuk kerja selenggara sekolah

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Sebanyak RM125.13 juta telah diagihkan kepada sekolah vernakular dan sekolah bantuan kerajaan di seluruh negara untuk kerja-kerja penyelenggaraan setakat 30 Sept, kata Kementerian Pendidikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan itu diberikan kepada sekolah rendah vernakular Cina dan Tamil, sekolah agama serta sekolah mubaligh.

RM6.6 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan di sekolah rendah vernakular Cina, dengan RM47.7 juta lagi untuk sekolah rendah vernakular Cina bantuan kerajaan.

Sebanyak RM4.28 juta diagihkan kepada sekolah rendah vernakular Tamil, manakala RM19.47 juta diperuntukkan untuk sekolah rendah vernakular Tamil bantuan kerajaan.

Bagi sekolah agama, RM28.68 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan, dan RM18.4 juta untuk sekolah mubaligh.

“Kementerian Pendidikan komited dalam usaha menyediakan kemudahan dan infrastruktur pendidikan untuk semua sekolah,” kata Fadhlina dalam jawapan bertulis parlimen pada hari Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta jumlah dan pecahan peruntukan yang diagihkan kepada sekolah vernakular Cina dan Tamil, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah mubaligh untuk tujuan pembaikan.

Secara berasingan, Fadhlina berkata kementerian turut mengagihkan peruntukan tambahan untuk kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan kecil di institusi pengajian tahun ini.

Sejumlah RM29.19 juta diperuntukkan kepada sekolah rendah vernakular Cina dan RM11.48 juta untuk sekolah rendah vernakular Tamil seluruh negara untuk penyelenggaraan tandas, antara lain.

Fadhlina menjelaskan, pihak sekolah juga boleh memohon peruntukan tambahan.

Beliau berkata pengagihan dana itu berdasarkan senarai keutamaan yang dibentangkan dan disyorkan oleh Jabatan Pendidikan negeri dan pejabat Pendidikan daerah kepada kementerian.

“Kami akan mempertimbangkan sebarang permohonan peruntukan lanjut dari semasa ke semasa, jika perlu, bagi memastikan kemudahan pendidikan selesa dan selamat,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button