Berita

RM910.52 juta harga ‘jalan keluar’ banjir di Kelantan

Ia melibatkan lima projek baharu yang dijangka dimulakan proses perolehan pada tahun hadapan

PASIR MAS 28 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM910.52 juta bagi mengatasi masalah banjir di Kelantan.

Menurut beliau, ia melibatkan lima projek baharu yang dijangka dimulakan proses perolehan pada tahun hadapan.

“Projek paling utama ialah PLSB (Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu) Sungai Golok Fasa 2.

“Seterusnya naik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal untuk kawalan banjir di negeri Kelantan.

“Ia melibatkan kerja-kerja menaiktaraf rumah pam Istana, Kota Bharu,” katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Beliau sebelum itu menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Lati di sini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahli Parlimen Tambun itu memberitahu, projek ketiga ialah menaik taraf saliran bagi mengatasi banjir di Pasar Kedai Mulong.

Ujarnya, projek naik taraf saliran bagi mencegah banjir di Ketereh turut termasuk dalam cadangan tersebut.

Menurut Anwar, seterusnya projek membina dan menaiktaraf saliran bagi mengatasi masalah banjir di Sekolah Kebangsaan Ketereh dan pemuliharaan pantai di Airport City Sabak.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 18 projek dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.42 bilion sedang dijalankan pada tahun semasa.

“Pada Januari 2024 JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dijangka akan melaksanakan dua projek iaitu PLSB Sungai Golok Fasa 3 dan PLSB Sungai Kelantan Fasa 2,” ujar beliau. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button