Berita

Rogol kanak-kanak dalam bas, remaja 17 tahun ditahan

Suspek ditahan ketika menaiki bas yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Polis menahan seorang remaja lelaki dalam sebuah bas di Bentong, Pahang selepas dipercayai merogol kanak-kanak perempuan dalam kejadian pada ambang tahun baharu.

Suspek yang berusia 17 itu ditahan kira-kira 1 tengah hari ketika menaiki bas yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Pasir Puteh, Zaizul Rizal Zakaria, berkata keluarga mangsa berusia 13 tahun sebelum itu membuat laporan polis pada 6.45 pagi.

Katanya, mangsa didakwa dirogol di kawasan sawah padi di Kampung Bukit Abal ketika mangsa keluar bersama suspek dikenalinya itu tanpa pengetahuan keluarga.

“Mangsa dikatakan keluar dengan suspek menaiki motosikal dari Pantai Bukit Keluang, Besut, Terengganu untuk bersiar-siar di sekitar Besut dan Pasir Puteh sempena tahun baharu.

“Suspek kemudian didakwa membawa mangsa ke sawah padi sebelum merogolnya dan mangsa ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Balai Polis Banggol Judah, Machang.

“Bertindak atas maklumat, kita berjaya memberkas suspek pada 1.00 tengah hari, dipercayai cuba melarikan diri ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, suspek akan ditahan reman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. — FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button