Berita

Rombakan kabinet hak mutlak PM – Fadillah

KUALA LUMPUR 30 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata belum ada perbincangan dibuat mengenai rombakan Kabinet.

“Saya belum mendengar mengenainya. Tiada perbincangan berkaitan perkara itu. Itu adalah prerogatif (hak mutlak) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),

“Saya orang bekerja. Saya menurut perintah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desas-desus kemungkinan akan berlaku rombakan Kabinet.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menegaskan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited dan fokus untuk memastikan kerajaan yang kukuh dan stabil.

“Kami daripada GPS memberi komitmen dan apa yang kami perlukan sekarang ialah kerajaan yang kuat dan stabil.”

“Tanpa kestabilan, kita tidak boleh mengubah prestasi ekonomi, pelabur tidak akan datang kerana tiada dasar yang jelas, tiada kesinambungan dari segi kerajaan.

“Hanya kestabilan politik dan tadbir urus baik akan menarik kedatangan pelabur,” katanya yang juga Ketua Whip GPS di Parlimen.

Keadaan itu, katanya, adalah aspek terpenting buat Sarawak dan komitmen mereka dalam Kerajaan Perpaduan. – Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button