Berita

Rombakan kabinet tak ubah dasar kementerian

Ahmad Zahid menyifatkan rombakan kabinet tidak akan memberi kesan kepada dasar sesebuah kementerian.

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Rombakan Jemaah Menteri tidak semestinya memerlukan perubahan dasar sesebuah kementerian, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau berkata sebaliknya, dasar dan acuan yang terbukti berkesan, harus dikekalkan.

“Menteri datang dan pergi, timbalan menteri pun datang dan pergi. Namun yang lebih penting bagi kita ialah biar pun kepimpinan itu bertukar ganti, kerajaan bertukar ganti, tetapi dasar (yang baik) harus dikekalkan.

“Jangan oleh kerana mahu wujudkan legasi kononnya, maka dasar diubah, yang baik pun diubah,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Karnival Usahawan Desa (KUD) 2O23 di sini malam tadi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam melakukan rombakan Jemaah Menteri yang pertama sejak penubuhan kerajaan perpaduan, dalam usaha memperkukuhkan pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.

Rombakan itu menyaksikan pertambahan bilangan Jemaah Menteri, pengguguran seorang menteri serta penampilan tokoh korporat dan akademik sebagai muka baharu, selain kemunculan semula lima bekas menteri.

Rombakan itu menyaksikan pertukaran portfolio melibatkan beberapa menteri dan timbalan menteri sedia, ada antaranya Mohamad Hasan yang berpindah ke Kementerian Luar, Mohamed Khaled Nordin (menteri pertahanan) dan Zambry Abdul Kadir (menteri pendidikan tinggi).

Mengenai KUD, Zahid berkata kejayaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menarik kehadiran lebih satu juta pengunjung pada karnival di Putrajaya pada 22 hingga 26 Nov lepas, merupakan sesuatu yang harus dibanggakan dan dijadikan contoh.

Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah turut menyarankan kementerian berkenaan untuk berusaha menarik lebih dua juta pengunjung pada penganjuran KUD seterusnya, yang dijangka diadakan pada 2025. —Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button