Ronny Chieng, pelawak kelahiran Malaysia menang Anugerah Emmy di Los Angeles
Pelawak kelahiran Malaysia, Ronny Chieng memenangi kategori Siri Bual Bicara Terbaik menerusi rancangan kendaliannya, The Daily Show pada Anugerah Emmy Ke-76 yang berlangsung di Peacock Theater, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Ahad lalu.
Pengacara televisyen (TV) dan pelakon kelahiran Johor Bahru, Johor yang berpangkalan di AS itu menjadi sebahagian daripada rancangan The Daily Show sejak 2015.
Melalui entri dimuat naik dalam Instagram (IG), Chieng, 38, berkata dia sangat gembira apabila dapat menjadi sebahagian pasukan The Daily Show.
“Saya memenangi Anugerah Emmy menerusi The Daily Show. Terima kasih kepada Penerbit Eksekutif The Daily Show, Jon Stewart dan setiap orang yang membantu menjayakan rancangan ini.
“Saya tidak pernah rasa kagum dengan bakat yang ada dan terima kasih kepada bekas pengacara The Daily Show, Trevor Noah kerana menyelamatkan saya dari Australia. Tak lupa keluarga dan isteri, Hannah kerana sentiasa menyokong saya,” katanya.
Melalui enrti sama, Chieng turut berkongsi neneknya meninggal dunia pada pagi sebelum anugerah berkenaan.
“Nenek meninggal dunia di Malaysia pada hari anugerah, jadi saya ingin mendedikasikan ini untuknya. Ini kerana dia menjaga saya dan menyayangi saya.
“Harapan terbaiknya untuk saya. Ini adalah impian yang jauh untuk orang tua kita. Sayang kamu,” tulisnya.
Chieng pernah menjadi wartawan untuk The Daily Show sejak sembilan tahun lalu. Pada 21 November tahun lalu, Chieng muncul sebagai hos jemputan rancangan berkenaan buat kali pertama.
Chieng atau nama penuh, Ronny Chieng Xin Yi, dibesarkan di Johor Bahru, Johor dan bersekolah di Singapura sebelum melanjutkan pelajaran di Australia.
Chieng adalah pelajar lulusan undang-undang dari Universiti Melbourne dan memulakan kerjaya sebagai pelawak ketika berada di Australia.