Rumah terbakar, warga emas ditemui rentung di dapur
Warga emas 81 tahun itu rentung di bahagian dapur

TANGKAK 27 Ogos – Seorang lelaki warga emas rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Sungai Pilah, Bukit Gambir di sini, hari ini.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 6.16 pagi.
Susulan itu katanya, seramai 11 anggota dibantu sebuah jentera dan satu utiliti dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 6 x 12 meter musnah 80 peratus. Kebakaran dapat dikawal pada jam 6.54 pagi.
“Dalam kejadian ini, seorang warga emas lelaki berusia 81 tahun rentung di bahagian dapur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi masih dijalankan sementara punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – Sinar Harian