Berita

Rumah teres 2 tingkat simpan 1.4 tan barang lusuh di Pulau Pinang

Tiga buah lori terpaksa digunakan untuk mengangkut kesemua longgokan sampah itu.

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memungut 1.4 tan barangan lusuh dari sebuah rumah teres dua tingkat di daerah Timur Laut sehingga menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar dengan longgokan sisa barang lusuh.

MBBP, dalam kenyataan hari ini, berkata tindakan itu diambil menerusi operasi bersepadu yang dijalankan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan jabatan-jabatan dalaman MBPP, semalam.

MBPP berkata tiga buah lori terpaksa digunakan untuk mengangkut kesemua longgokan barangan lusuh itu selepas pemiliknya sengaja membiarkan kawasan kediamannya dalam keadaan semak dan menjijikkan.

“Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan kepada pemilik premis telah dikeluarkan pada 29 Dis lepas mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 Majlis Bandaraya Pulau Pinang namun tiada tindakan diambil pemilik untuk membersihkan kesemua sampah terbabit,” menurut kenyataan itu.

Pada masa yang MBPP berkata pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut yang turut menjalankan operasi pemeriksaan bekas-bekas berpotensi pembiakan nyamuk telah menemui pembiakan jentik-jentik yang banyak di dalam baldi.

Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan sewajarnya sedang dipertimbangkan ke atas pemilik kediaman tersebut kerana gagal mematuhi Notis di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 sebanyak dua kali. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button