Sukan

Rumput SNBJ tajaan TMJ musnah akibat konsert Coldplay?

Berdasarkan gambar yang dikongsikan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), beberapa bahagian padang berkenaan rosak dan ia dipercayai berlaku selepas konsert Coldplay, malam kelmarin

KUALA LUMPUR 24 Nov – Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar keadaan terkini padang Stadium Nasional di laman Instagram miliknya, hari ini.

Tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada Padang Stadium Nasional, Bukit Jalil rosak angkara konsert Coldplay yang berlangsung kelmarin.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), beberapa bahagian padang berkenaan rosak dan ia dipercayai berlaku selepas konsert Coldplay, malam kelmarin.

TMJ yang menaja rumput baharu jenis Zeon Zoysia di gelanggang keramat Harimau Malaya itu bagaimanapun hanya berkongsi gambar tanpa sebarang ulasan atau kapsyen.

Situasi itu pasti amat mendukacitakan terutama selepas padang berkenaan mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tanah air ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Kyrgyzstan, 16 November lalu.

Keadaan terkini padang berkenaan juga mencetuskan persoalan mengenai kesediaan gelanggang terbabit bagi penganjuran final Piala Malaysia yang dijadual berlangsung pada 8 Disember ini.

Padang Stadium Nasional sebelum ini pernah dikritik hebat selepas ia yang baru dinaik taraf rosak teruk ketika digunakan pada Pestabola Merdeka 2023, bulan lalu.

Konsert Coldplay yang julung kali diadakan di negara ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminatnya merekodkan jumlah kehadiran mencecah 75,000 peminat. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button