Ekonomi

Rusia jamin sokong aspirasi Malaysia sertai BRICS

RUSIA, selaku pengerusi semasa BRICS hari ini memberi jaminan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia akan memberikan sokongan kepada aspirasi Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan itu.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata, jaminan itu disampaikan kepada Anwar semasa kunjungan hormat Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov di Seri Perdana pada Ahad.

Lavrov sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula Sabtu.

Dalam pertemuan itu, kementerian berkenaan berkata, Anwar dan Lavrov membincangkan hubungan dua hala yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Rusia.

Terdahulu hari ini, Bernama melaporkan Perdana Menteri berkata, Malaysia telah menghantar permohonan kepada Rusia untuk menyertai BRICS.

Pada 18 Jun, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

BRICS, yang pada awalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, dan China, ditubuhkan pada tahun 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi baharu muncul, dengan Afrika Selatan menyertai blok itu pada tahun 2010.

Blok itu kini telah berkembang dan merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.

Kementerian itu berkata, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Lavrov mengadakan mesyuarat dua hala di Wisma Putra, dan mereka menilai dan membincangkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

Ini termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, industri Halal dan perbankan Islam, pertahanan, sains dan teknologi, pendidikan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pelancongan serta pertukaran lawatan di peringkat tinggi, katanya lagi.

“Kementerian Luar berkata kedua-dua pihak komited untuk meningkatkan kerjasama lebih erat melalui mekanisme dua hala sedia ada, khususnya Suruhanjaya Bersama Mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan.

Kedua-dua Menteri Luar turut menyentuh secara ringkas mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Palestin,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua Menteri Luar berada di Vientiane, Laos dari 26 hingga 27 Julai untuk menyertai Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-Rusia serta Forum Serantau ASEAN dan mereka membincangkan secara meluas Hubungan Dialog ASEAN-Rusia serta isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.

Kedua-dua Menteri Luar turut bertukar Nota Diplomatik mengenai Kerjasama antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Malaysia (IDFR) dan Akademi Diplomatik Kementerian Luar Rusia, menurut kenyataan itu.

Pada 2023, Rusia merupakan rakan dagang kelapan terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara Eropah. Jumlah dagangan dua hala meningkat sebanyak 15.6 peratus kepada RM14.22 bilion (AS$3.1 bilion), berbanding RM12.3 bilion (AS$2.79 bilion) dalam 2022. – Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button