Russia sokong Palestin
Presiden Russia menegaskan negaranya sentiasa menyokong pelaksanaan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai penubuhan negara Palestin yang merdeka

MOSCOW, 12 Okt – Presiden Russia, Vladimir Putin mengakui Moscow sentiasa menyokong penuh penubuhan sebuah negara Palestin, kerana rejim Israel tidak henti-henti menghentam Semenanjung Gaza yang dikepung dengan serangan peluru berpandu bertubi-tubi.
Bercakap pada sesi pleno Minggu Tenaga Russia berkata, Putin menegaskan negaranya sentiasa menyokong pelaksanaan keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai penubuhan negara Palestin yang merdeka.
“Kami sentiasa menyokong pelaksanaan keputusan Majlis Keselamatan PBB, maksud saya, pertama sekali, penciptaan negara Palestin yang merdeka,” tegas pemimpin Russia itu.
Kenyataan Putin dibuat ketika Israel melancarkan serangan maut ke atas Semenanjung Gaza yang berpenduduk padat sejak Sabtu selepas Gerakan Pejuang Islam Palestin (Hamas) melancarkan serangan mengejut, digelar Operasi Taufan Al-Aqsa, terhadap entiti perampas kuasa itu.
Hamas mengatakan bahawa operasinya muncul sebagai tindak balas terhadap pencabulan Israel di Masjid al-Aqsa di al-Quds Timur yang diduduki dan keganasan peneroka yang semakin meningkat.
Di bahagian lain dalam ucapannya, Putin menyebut letusan keganasan antara Israel dan Palestin sebagai contoh jelas kegagalan dasar AS di Timur Tengah.
Beliau menegaskan bahawa dasar Washington di rantau itu tidak mengambil kira keperluan rakyat Palestin kerana Rumah Putih cuba memberi tumpuan kepada bantuan kewangan, dan bukannya mencari penyelesaian kepada cabaran politik asas sedia ada.
Beliau bimbang jika konflik di Palestin boleh menjadi lebih mendalam selepas AS memutuskan untuk menempatkan semula kapal perang.
Presiden Russia itu juga mengecam perkara tersebut sebagai satu kesilapan tindakan Washington menghantar kumpulan penyerang kapal induk, yang termasuk USS Gerald R. Ford, lebih dekat dengan Israel.
“Saya tidak faham mengapa AS mengheret kumpulan pengangkut pesawat ke Laut Mediterranean. Saya tidak begitu faham maksudnya.
“Adakah mereka akan mengebom Lubnan? Atau adakah mereka cuba menakutkan seseorang? Sebenarnya orang di sana yang tidak lagi takut kepada apa-apa.
“Ini bukan cara untuk menyelesaikan masalah. Penyelesaian kompromi perlu dicari. Sudah tentu, tindakan sebegitu mengeruhkan keadaan,” kata Putin.
Lebih 1,000 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera dalam hampir lima hari serangan udara Israel ke atas Gaza, sebuah wilayah terkepung di Mediterranean yang menempatkan kira-kira 2.3 juta orang walaupun keluasan tanahnya yang agak kecil. – Agensi