Berita

RUU bubar MAVCOM dibentang di Dewan Rakyat

RANG Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 bagi membubarkan MAVCOM dibentangkan ke Dewan Rakyat, hari ini.

RUU itu dibentangkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebaik selesai sesi jawab lisan, diikuti sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen.

RUU berkenaan merangkumi pindaan yang diperuntukkan dalam 14 fasal keseluruhannya, termasuk Fasal 3 yang bertujuan memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dan seterusnya membubarkan MAVCOM.

Selain itu, Fasal 4 bertujuan mengadakan peruntukan bagi penurunan kuasa, hak, kewajipan, liabiliti dan obligasi MAVCOM kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) .

Pindaan Fasal 5, bertujuan memperuntukkan semua wang yang ada pada atau kena dibayar kepada Kumpulan Wang Suruhanjaya Penerbangan dan Kumpulan Wang Perkhidmatan Awam dipindahkan kepada Kumpulan Wang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

Kumpulan Wang Suruhanjaya Penerbangan dan Kumpulan Wang Perkhidmatan Awam ditubuhkan di bawah Akta 771, manakala Kumpulan Wang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengikut Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 (Akta 788).

Fasal lain dipinda adalah Fasal 7, di mana semua perjanjian yang masih berkuat kuasa semasa pembubaran MAVCOM akan diletakhakkan di bawah CAAM.

Selain itu, Fasal 8 bertujuan mengadakan peruntukan kecualian bagi permohonan yang dibuat atau aduan yang diterima oleh MAVCOM yang belum selesai diuruskan, kepada CAAM.

“Tujuan pindaan ini adalah bagi memastikan kesinambungan pengurusan perkhidmatan seperti permohonan hak trafik udara, lesen ASL, ASP, AOL dan GHL serta aduan berkaitan syarikat penerbangan yang dikendalikan MAVCOM dapat disempurnakan sepenuhnya,” kata Loke.

Beliau berkata, penggabungan MAVCOM dan CAAM kelak tidak lagi akan memerlukan dua badan kawal selia berasingan.

“Mekanisme tunggal ini juga diguna pakai di kebanyakan negara yang mengendali sektor pengangkutan udara utama dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Singapura dan Republik Rakyat China.

“Penggabungan ini juga akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan kewangan sedia ada di samping meningkatkan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Katanya, penggabungan bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi dan mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam, terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan.

Seiring pembubaran MAVCOM, RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 dijadual dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

 

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button