Hiburan

SAH Entertainment anjur konsert solo pertama Insomniacks di Zepp KL 12 Julai ini

Sudah 10 tahun berada dalam industri muzik tanah air, kumpulan Insomniacks bakal mengadakan konsert solo pertama mereka yang diberi nama Insomniacks: Echoes Of A Dream pada 12 Julai 2025. Konsert yang dianjurkan oleh SAH Entertainment berkolaborasi bersama Universal Music itu akan berlangsung di Zepp, KL, Kuala Lumpur.

Kumpulan Insomniacks dianggotai seramai tiga orang ahli iaitu Syed Mir Iqbal atau Iqie selaku penyanyi utama, Wan Arif Iskandar (pemain bes), dan Danial Lee Hashim (pemain gitar).

Sentiasa tampil dengan karya yang segar dan menjadi siulan ramai, kumpulan ini mempunyai peminat yang tersendiri bukan sahaja di Malaysia malah dari Indonesia, Singapura dan Brunei. Antara lagu-lagu popular milik kumpulan ini adalah Pulang, Reminisensi, Sempurna dan Igauan Malam.

Kolaborasi Insomniacks bersama penyanyi Nabila Razali menerusi lagu Cerita Kita juga berjaya meraih tempat di kalangan penggemar muzik tempatan dan antarabangsa. Malah lagu Belum Mulai duet bersama penyanyi dari Indonesia, Nabila Taqiyyah berjaya dinobat sebagai Video Muzik Tergempak di Anugerah Gempak Most Wanted 2024.

Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment iaitu Sufi Rashid, konsert ini bakal menjadi satu sejarah besar buat Insomniacks.

Malah penjualan harga tiket juga akan dijual pada harga mampu milik sebagai tanda kumpulan itu menghargai peminat-peminat mereka yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan Insomniacks selama ini.

“Ini akan menjadi satu detik bersejarah buat Insomniacks sendiri kerana ia adalah konsert solo pertama mereka.

“Untuk jualan tiket pula, kami sepakat menawarkan harga mampu milik supaya peminat-peminat Insomniacks dapat bersama-sama mencipta detik bersejarah tersebut dan ia paling murah pernah dijual di Zepp KL selepas sekian lama,” katanya.

Insomniacks mula ditubuhkan pada tahun 2015 dan permulaan band ini bermula dengan sering memuat naik video ‘cover’ lagu-lagu popular di saluran YouTube mereka.

Tidak hanya itu, Insomniacks juga pernah mendapat pengiktirafan meluas menerusi empat buah lagu yang berjaya menembusi Top 10 RIM (Recording Industry Malaysia) Domestic Chart iaitu melalui lagu Pulang, Sempurna, Reminisensi dan Igauan Malam.

Band ini turut melakar sejarah apabila menjadi artis pertama yang mempunyai empat buah lagu di carta berkenaan. Insomniacks juga ​​adalah artis Malaysia kelima paling banyak distrim di aplikasi Spotify pada 2024. Muzik Insomniacks mempunyai gabungan genre seperti pop, rock dan punk.

Harga tiket konsert Insomniacks: Echoes Of A Dream ini bermula pada RM138 (Maniacks, standing), RM168 (Sempurna, seating), RM228 (Reminisensi, seating), dan RM6888 (Pulang, VIP box).

Tiket konsert boleh dibeli melalui laman sesawang Ticketmelon bermula 5 Mei ini. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi SAH Entertainment melalui emel [email protected].

Artikel Berkaitan

Back to top button