Saifuddin Nasution Dilantik Sebagai Pengiring Donald Trump Semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
JOHOR BAHRU, 22 April -- Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media di sebuah hotel hari ini. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan bertugas sebagai menteri pengiring kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Oktober ini.
Menurut Saifuddin, beliau hanya akan mengiringi Trump sepanjang sidang kemuncak itu, manakala segala perbincangan serta rundingan berkaitan pelbagai isu antarabangsa termasuk Gaza akan dikendalikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin-pemimpin ASEAN lain termasuk dari Timor Leste.
“Wisma Putra akan menugaskan mana-mana menteri sebagai pengiring apabila pemimpin dunia datang ke negara kita. Kali ini, saya kena iring Presiden Amerika Syarikat (Trump) sepanjang acara ASEAN ke-47,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran SMKA Sheikh Abdul Malek sebagai Sekolah Angkat Madani Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan beliau turut berusaha membantu rundingan pembebasan wakil-wakil negara dalam dua misi kemanusiaan ke Gaza dengan menghubungi Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff, yang juga kenalannya.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan peranannya kecil berbanding inisiatif besar yang digerakkan oleh Anwar dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam usaha membebaskan peserta Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition.
“Saya tahu beliau (Anwar) menghubungi rakan-rakan sejawatnya di Arab Saudi, Mesir dan Turkiye. Begitu juga Tok Mat (Mohamad),” katanya.








