Saksi SPRM didakwa beri kenyataan bercanggah berkaitan dana Mitra.

Seorang saksi pendakwaan dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah didakwa dengan tiga pertuduhan memberikan kenyataan yang bercanggah berkaitan siasatan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) kepada pegawai penyiasat.
V Meenaloshini, 35, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nasir Nordin.
Dia didakwa membuat satu akuan berkanun di hadapan pesuruhjaya sumpah, Amer Hamzah Ali, di Gombak pada 20 Disember 2023 yang bertentangan dengan kenyataan yang diberikan kepada pegawai penyiasat SPRM di ibu pejabat agensi itu pada 24 Januari 2022.
Akuan berkanun yang sama juga didakwa mengandungi satu lagi kenyataan yang bercanggah dengan keterangannya kepada pegawai berkenaan pada 25 Januari 2022.
Menurut pertuduhan ketiga, dia membuat satu lagi kenyataan bercanggah dalam akuan berkanun tersebut, yang berbeza daripada kenyataan yang diberikan kepada pegawai penyiasat pada 24 Januari 2022.
Dia didakwa di bawah Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 kerana memberikan kenyataan dengan niat untuk mengelirukan suruhanjaya dan pendakwa raya.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga RM100,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan dia menyerahkan pasport serta melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat sekali sebulan.
Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaidi mengendalikan pendakwaan manakala K Kanagavalli mewakili tertuduh.
Mahkamah menetapkan 30 April untuk penyerahan dokumen.