Berita

Salahuddin sahabat yang setia, kehilangan besar buat saya dan keluarga – Anwar

Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah malam tadi.

KUALA LUMPUR 24 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat terkesan dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah malam tadi.

Perdana Menteri yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang sahabat setia berkata, Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri beliau dan keluarga.

“Saya amat terkesan tatkala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan juga seorang sahabat yang setia Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub telah pergi dijemput Allah SWT hari ini.

“Secara peribadi, ianya satu kehilangan besar buat diri saya dan keluarga, dan saudara Salahuddin teguh bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat.

“Jasa dan budinya tentunya tidak termampu dibalas secara materi,” kata Anwar dalam kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, Allahyarham Salahuddin dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan.

Jelas Anwar, Allahyarham juga sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.

“Berehatlah, sahabatku. Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah,” tambah Perdana Menteri.

Salahuddin Ayub menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah kira-kira pukul 9.23 malam ini.

Berita mengenai pemergian Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu disahkan oleh anaknya, Fatihah Salahuddin di Facebook.

Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan kira-kira pukul 10.15 malam Jumaat, dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah.

Doktor pakar mengesahkan terdapat pendarahan di bahagian otaknya dan beliau menjalani pembedahan segera awal pagi semalam dan Salahuddin selamat menjalani pembedahan semalam. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button