Politik

Sama seperti Wan Saiful, Muhyiddin perlu letak jawatan – Penganalisis

KUALA LUMPUR 9 Mac – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengambil keputusan untuk berehat atau mengundurkan diri daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan siasatan yang dilakukan terhadapnya oleh SPRM.

Geostrategis, Prof. Madya Dr. Azmi Hassan berkata, Muhyiddin perlu melakukan seperti apa yang dilakukan bekas Ketua Penerangan Bersatu,  Datuk Wan Saiful Wan Jan.

“Ini kerana, Wan Saiful pernah berkata, kluster mahkamah Bersatu tak sama dengan kluster mahkamah UMNO.

“Jika Bersatu rasa mereka dianiaya menerusi pendakwaan berunsurkan politik, mereka perlu berada dalam satu tahap lebih tinggi daripada kluster mahkamah biasa.

“Maksudnya, bila dituduh sahaja, belum disabitkan lagi, pemimpin Bersatu undurkan diri daripada parti. Ini boleh menjadi satu model kepada ahli politik lain,” katanya kepada Xklusif.

Menurut Dr Azmi, tindakan itu juga mampu memberi nafas baharu kepada situasi politik negara dan disebabkan itu, Muhyiddin perlu sekurang-kurangnya berehat seketika atau mengundurkan diri.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan & Politik UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, apa sahaja yang berlaku, semua orang perlu kembali ke prinsip mengiktiraf atau memahami elemen perundangan negara.

Jelasnya, ini bermaksud apa sahaja tindakan terutamanya melibatkan jawatan hanya akan berlaku selepas pembuktian bersalah itu berlaku.

“Sebarang pembuktikan perlu dilihat sebagai satu daripada mekanisme untuk menentukan hala tuju perjawatan individu dalam mana-mana parti politik.

“Perkara ini penting untuk memastikan elemen perundangan dan kehakiman menjadi teras utama dalam penentuan hala tuju seseorang ahli politik sama ada pembangkang atau kerajaan,” katanya.

Terdahulu, nama Muhyiddin menjadi tumpuan pengikut politik negara selepas SPRM memanggilnya untuk disiasat.

Ia susulan siasatan yang dijalankan SPRM terhadap Muhyiddin berhubung kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Disebabkan itu juga, timbul desas desus berkaitan dengan status jawatan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu sama ada masih kekal atau tidak.

Namun, Ketua Penerangan parti itu, Datuk Razali Idris berkata, pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional tidak akan bersetuju jika Muhyiddin ingin meletakkan jawatan. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button